Sejarah baru politik? Parti Islam, Melayu & Bumiputera duduk semeja cari titik persefahaman

Sejarah baru politik? Parti Islam, Melayu & Bumiputera duduk semeja cari titik persefahaman

Buat pertama kali, parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera duduk semeja bagi membincangkan serta mencari titik persefahaman berhubung isu kepentingan agama dan kaum.

Masing-masing duduk semeja

Menerusi perkongsian Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki  di Facebook, beliau memaklumkan ertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Selain UMNO, tujuh lagi parti utama yang hadir ialah PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.

Artikel lain: Istilah hebat, ‘Kolaborasi Agung’ & ‘Rumah Bangsa’ kurang menyakinkan – Fadhli Shaari

Duduk semeja berbincang, berunding, berdialog

Sebelum ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ada menyuarakan hasrat membentuk ‘grand collaboration’ atau kolaborasi agung yang menyatukan parti Melayu dan Islam tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan.

Usul tersebut dibangkitkan ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dan dipersetujui perwakilan.

“Semua sepakat tadi untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rundingan.
“Platform rundingan atau wahana itu akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya.

duduk semeja

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan penubuhan jawatankuasa penyatuan ‘rumah bangsa’ untuk menerima penyertaan semula bekas ahli parti dan pelaksanaan ‘kolaborasi agung’ melibatkan parti-parti politik Melayu-Islam.

Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Scroll to Top