mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Buat tahun ketiga, akhbar ini menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama rakan strategik, Takaful Malaysia kembali menjayakan program pengagihan 2,000 Pek Berkat Kasih kepada masyarakat setempat serta petugas barisan hadapan di sekitar bandar raya ini.
Seawal jam 8.30 pagi, 70 sukarelawan merangkumi 50 kakitangan Takaful Malaysia dan 20 warga kerja Harian Metro bergotong-royong menyedia bahan dan memasak hidangan utama ayam dan daging kunyit sehingga proses membungkus dan mengagih kepada penerima pada sebelah petang.
Juadah berbuka puasa itu diedarkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) serta Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HTABTAR).
Pengagihan pek berbuka puasa nasi ayam dan daging kunyit yang mengandungi kurma dan agar-agar itu turut diagihkan kepada pengguna jalan raya dan pejalan kaki di hadapan Menara Takaful Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, Pek Berkat Kasih itu diagihkan sebagai tanda penghargaan kepada wira badan beruniform atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, program itu bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kerjasama dan saling bantu-membantu, namun menyemai tanggungjawab sosial yang perlu diteladani selain memeriahkan sambutan Ramadan.
“Saya berbangga melihat semangat 70 sukarelawan dalam kalangan kakitangan Takaful Malaysia dan Harian Metro yang bekerjasama berganding bahu bagi menyediakan juadah ayam dan daging kunyit.
“Semoga program ini akan memberi manfaat kepada semua pihak serta mengukuhkan lagi ikatan silaturahim antara kita.
“Saya juga berharap kita dapat meneruskan lagi program ini pada masa akan datang kerana memberi makan kepada orang berpuasa adalah satu ibadah,” katanya pada majlis pelancaran dan penyerahan Pek Berkat Kasih di Menara Takaful Malaysia, di sini, Selasa lalu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit serta Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Sementara itu, mengulas mengenai kesinambungan kerjasama strategik ini buat tahun ketiga, Husain menyifatkan pembabitan kakitangan secara langsung menjadi nadi kekuatan program ini sejak TKHM bermula pada 2007 dalam merasai denyut nadi masyarakat.
Katanya, inisiatif program ini juga menunjukkan bahawa Ramadan bulan terbaik untuk memperkukuh ukhuwah dan semangat berpasukan antara warga media serta korporat.
“Kerjasama memasuki tahun ketiga ini bukan sekadar satu kolaborasi korporat, tetapi manifestasi kepercayaan dan ukhuwah yang kian utuh.
“Di sini tiada lagi batasan jawatan dan pangkat tetapi hanyalah tangan yang menghulur dan hati yang memberi. Inilah roh sebenar Ramadan, saat kita mendidik jiwa untuk menjadi lebih peka terhadap keperluan insan lain,” katanya.
Pada masa sama, Husain berkata, penyerahan pek makanan berkenaan menjadi saksi pengorbanan untuk wira beruniform dan petugas keselamatan yang mungkin terpaksa berbuka dalam kesibukan tugas sentiasa dalam ingatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




