Washington: Apabila Amerika Syarikat (AS) memerangi Perang Teluk 1991, presidennya ketika itu, George H W Bush berbangga kerana berjaya membina pakatan luas yang belum pernah dilihat selama beberapa dekad.
Apabila anaknya melancarkan serangan ke atas Iraq pada 2003, beliau menerima kritikan meluas tetapi masih mendapat sokongan beberapa negara sekutu AS.
Kini satu generasi kemudian, Presiden AS, Donald Trump melancarkan serangan terhadap Iran namun hampir tidak berusaha membina hubungan diplomatik.
Trump melancarkan perang itu bersama Israel, yang sudah lama mendesak AS supaya menyerang kepimpinan Iran.
Strategi Trump terhadap negara lain lebih menumpukan kepada memberi tekanan kuat supaya mereka bekerjasama dan mengkritik mereka yang enggan berbuat demikian.
Trump turut mengkritik sekutu AS, Britain yang menolak untuk menyertai serangan ke atas Iran dengan menyindir Perdana Menterinya, Keir Starmer.
Starmer berkata, pejuang AS boleh menggunakan dua pangkalan udara UK untuk tujuan pertahanan tertentu dan terhad.
Trump turut mengancam untuk menghentikan semua perdagangan dengan Sepanyol selepas Perdana Menteri berhaluan kiri, Pedro Sanchez, enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan di negara itu.
AS dan Israel juga tidak berusaha mendapatkan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum melancarkan perang yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Timbalan Pengarah Urusan German Marshall Fund, Kristina Kausch berkata, perang itu menggambarkan Trump melihat dirinya lebih berkuasa.
Beliau berkata, perang itu hanya mengukuhkan persepsi Eropah terhadap Trump.
Sementara itu, bekas Timbalan Penasihat Keselamatan AS, Nadia Schadlow berkata, perang itu menunjukkan bahawa negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada PBB berhubung kepentingan keselamatan.
“Pembuat keputusan menilai bahawa keselamatan dan unsur kejutan adalah kritikal dan lebih penting daripada rundingan,” katanya.
Sokongan jelas terhadap perang itu jarang kedengaran, dengan kenyataan tegas hanya datang daripada pemimpin sayap kanan Argentina dan Paraguay, selain Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang negaranya sering bertempur bersama AS dalam setiap perang besar.
Albanese menyokong tindakan bagi menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut menyuarakan sokongan sama, namun tidak lama kemudian menggesa supaya ketegangan dikurangkan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menentang serangan itu kerana dianggap bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, manakala Canselor Jerman, Friedrich Merz menyuarakan harapan republik Islam itu berakhir sambil berharap perang berkenaan tidak berpanjangan.
Iran seperti Venezuela yang presidennya digulingkan Trump pada Januari lalu, mempunyai hubungan rapat dengan Rusia dan China, namun kedua-dua kuasa itu tidak bersedia atau tidak mampu mempertahankan sekutu mereka daripada kekuatan ketenteraan AS.
China juga bergantung kepada kedua-dua negara itu untuk bekalan minyak, walaupun kebergantungan terbabit dikurangkan.
Bagaimanapun, perang itu juga berpotensi memberi manfaat kepada China.
Tentera AS kini menggunakan bom, peluru berpandu dan sumber lain yang sepatutnya boleh digunakan dalam situasi hipotesis mempertahankan Taiwan yang dituntut Beijing, selain membolehkan China memerhati operasi perang AS di Iran.
Malah, China pernah menggambarkan dua dekad pertama abad ini sebagai tempoh ‘peluang’, ketika AS sibuk dengan perang di Afghanistan dan Iraq.
Terdapat juga potensi manfaat strategik besar kerana Beijing tentunya gembira melihat AS sekali lagi terperangkap dalam konflik di Asia Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




