Summer pamer aksi dominan

Summer pamer aksi dominan

Los Angeles: Bintang renang Olimpik Kanada, Summer McIntosh mempamerkan aksi dominan apabila menjuarai acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu pada kejohanan Westmont Pro Swim di pinggir bandar Chicago, awal pagi tadi.

Summer mencatat masa 2 minit 4.72 saat (s) untuk menewaskan pencabarnya dari Amerika Syarikat (AS), Lindsay Looney dengan kelebihan besar 4.31s.

Juara Olimpik dan dunia berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengakui dia sebenarnya mengharapkan catatan masa lebih pantas.

“Sejujurnya saya berharap dapat mencatat masa yang lebih baik daripada apa yang saya lakukan hari ini,” katanya kepada platform penstriman Peacock.

Summer kini berlatih di Texas di bawah bimbingan jurulatih terkenal, Bob Bowman yang sebelum ini melatih legenda renang Michael Phelps.

Perenang muda itu memegang rekod kedua hingga kelima terpantas dalam acara berkenaan di belakang rekod dunia 2:01.81s milik perenang China, Liu Zige yang dicatat ketika era penggunaan pakaian renang berteknologi tinggi yang kini sudah diharamkan.

Sementara itu, perenang Australia, Sam Short muncul juara acara 800, gaya bebas dengan catatan 7:40.98s.

Dia menewaskan dua pemenang pingat emas Olimpik iaitu Bobby Finke dari AS yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 7:58.35 serta wakil Ireland, Daniel Wiffen di tempat ketiga dengan masa 8:07.21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top