Harga petrol RON95 di Malaysia setakat ini masih berada dalam keadaan terkawal walaupun konflik yang berlaku di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan minyak global.
PM sentiasa pantau perkembangan Asia Barat
Memetik laporan daripada Bernama, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa di rantau tersebut kerana keadaan semasa menunjukkan beberapa petanda yang perlu diberi perhatian.
“Dalam keadaan sekarang, nampak masih terkawal tetapi kita tahu kapal-kapal minyak dan gas tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal. Ini tentunya akan menjejaskan dari segi perniagaan, begitu juga kos pengangkutan kerana jalan lebih jauh terpaksa digunakan.
“Setakat ini, sepertimana saya umumkan, kita akan cuba kawal termasuk RON95 sekadar RM1.99 (seliter), tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Musolla IOI City Mall hari ini.

Nasihat rakyat tak pandang ringan konflik Asia Barat
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menasihatkan rakyat agar tidak memandang ringan konflik berkenaan kerana ia boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara sekiranya berlarutan.
“Saya syor supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan penjawat awam, pekerja, peniaga agar waspada tentang perkara ini. Jangan pandang ringan kerana ia akan menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.
“Kerajaan akan ambil langkah segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan tidak dapat dielakkan. Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat,” katanya.

Beliau turut berharap media tempatan memainkan peranan lebih aktif dalam melaporkan perkembangan konflik tersebut supaya rakyat sentiasa mendapat maklumat terkini.
“Saya lihat sekarang ini media nampak kurang tumpuan seperti apa yang dilaporkan oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.
Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, amalan boros dan membazir. Minta tolong berjaga-jaga daripada sekarang,” katanya.

Artikel lain: PM Anwar seru ambil iktibar konflik Asia Barat, tegaskan perpaduan jadi kunci utama
Untuk rekod, Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan penting bagi industri minyak dan gas dunia. Laluan sempit antara Iran dan Oman itu mempunyai kelebaran kira-kira 55 kilometer dan menjadi antara laluan utama bagi penghantaran minyak global.




