Saya tidak ada masalah dengan sesiapa, tidak bergaduh dan bermasam muka – Jep Sepahtu

Saya tidak ada masalah dengan sesiapa, tidak bergaduh dan bermasam muka – Jep Sepahtu

KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama menjadi tanda tanya, pelawak terkenal, Jep Sepahtu akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar hubungannya dengan dua rakan seperjuangan iaitu Shuib dan Mamat.

Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin menegaskan bahawa tiada sebarang perselisihan faham mahupun konflik yang berlaku antara mereka bertiga seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

Menurutnya, ketiadaan kerjasama dalam urusan kerja pada masa ini tidak bermaksud hubungan mereka berada dalam keadaan tidak baik.

“Saya tidak ada masalah dengan sesiapa. Saya tidak bergaduh dan tidak bermasam muka.

“Cuma ketika ini kami tiada urusan kerja bersama. Bila tiada urusan, tidak bermaksud hubungan kami tidak baik,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung di media sosial.

Tambah Jep, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan mana-mana pihak termasuk dua sahabatnya itu.

Dalam masa sama, pelawak berusia 41 tahun itu menegaskan dia sentiasa terbuka untuk bertegur sapa dan meluangkan masa bersama Shuib dan Mamat sekiranya bertemu.

“Kalau saya jumpa mereka, tiada masalah untuk bertegur, duduk dan minum bersama.

“Buat apa hendak bergaduh? Tidak pernah terlintas pun dan tiada faedah. Saya lebih suka kedamaian dan ketenangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini, Jep menjelaskan ia sekadar bertujuan memperbetulkan fakta yang dirasakan tidak tepat, bukannya untuk mencetuskan sebarang perbalahan.

“Apa yang saya katakan sebelum ini hanyalah pembetulan terhadap perkara yang saya rasa tidak betul. Saya juga ada hak untuk berkongsi dari sudut pandangan saya.

“Saya tidak berniat untuk mengeruhkan keadaan atau memalukan sesiapa. Jika saya dengar cerita yang tidak tepat, saya hanya menjelaskannya,” katanya.

Jelasnya lagi, kenyataan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai provokasi atau tanda mereka sedang bermusuhan.

“Adakah bila saya kata sesuatu itu tidak betul bermakna kami bergaduh? Umur saya sudah 41 tahun, tidak perlu untuk saya mencetuskan provokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Jep turut menzahirkan permohonan maaf sekiranya terdapat kesilapan yang dilakukan olehnya sebelum ini.

“Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf. Tidak malu pun jika kita yang terlebih dahulu meminta maaf,” katanya.

Terdahulu, Jep menjadi perhatian ramai selepas memuat naik satu hantaran di Instagram meluahkan rasa kecewa apabila namanya dijadikan bahan kandungan dalam sebuah podcast pada tahun lalu.

Dia juga meluahkan kekesalan terhadap tindakan beberapa rakan selebriti yang didakwa menggunakan kisah mengenai dirinya bagi meraih perhatian.

Scroll to Top