Landskap politik semasa jadikan PAU 2026 tumpuan ramai – Pakar

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang membuka tirainya semalam dijangka menjadi tumpuan banyak pihak, susulan perubahan landskap politik semasa, terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan Ke-16, baru-baru ini.

Ketika tawar-menawar dalam membentuk kerjasama antara gabungan politik tanah air masih berlangsung bagi menghadapi PRN Melaka, perwakilan dijangka sepakat dalam menentukan gabungan pilihan mereka untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN, malah mungkin untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Selain itu, pemerhati politik, berpandangan isu semasa yang sedang hangat diperkatakan, seperti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), yang membawa kepada penahanan beberapa pemimpin UMNO, selain isu FELDA akan turut mendapat perhatian perwakilan pada sesi perbahasan.

Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali menjangkakan tumpuan PAU kali ini terarah kepada menentukan rakan kerjasama politik BN pada PRN Melaka, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Hubungan antara BN dan PH di bawah Kerajaan Perpaduan kemungkinan turut dibangkitkan kerana ketika ini, hubungan itu agak tegang susulan tindakan BN menentang PH pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, UMNO dan BN dijangka kekal komited kepada Kerajaan Perpaduan, namun beberapa isu menggugat kepercayaan antara dua gabungan ini,” katanya ketika dihubungi.

Mazlan berkata, penahanan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa pemimpin UMNO dalam isu RCI TH juga dilihat semakin menjejaskan hubungan antara BN dan PH.

“Isu ini juga akan mendapat perhatian pemimpin dan perwakilan UMNO, selain FELDA, projek di bawah Kementerian Pertahanan dan terbaharu, dakwaan perbelanjaan melebihi peruntukan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, menjangkakan antara agenda utama PAU kali ini adalah persediaan parti itu untuk menghadapi PRU16, khususnya dari segi kerjasama politik yang akan dibentuk.

“Ia bukan saja mengenai PRN Melaka tetapi juga menjurus kepada agenda yang lebih besar, iaitu PRU.

“Bentuk kerjasama dengan pihak mana ini dikatakan sudah hampir dimuktamadkan dan akan ada desakan supaya kerjasama itu dilakukan bersama PN.

“Jadi, ruang warna-warni perbahasan itu lebih menjurus kepada ikatan kerjasama,” katanya.

Azmi juga berpendapat, perwakilan akan sepakat menolak kerjasama dengan PH, seperti yang disuarakan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini.

“Terlampau banyak ugutan yang digunakan (ke atas UMNO) buat masa ini.

“Sudah pasti keputusan perwakilan akan memaksa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan mengenai kerjasama berdasarkan resolusi PAU,” katanya.

PAU 2026, yang berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan menghimpunkan lebih 6,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Perhimpunan tahunan itu akan bermula dengan sesi Taklimat Presiden pada petang ini, diikuti Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.

Perhimpunan agung bagi ketiga-tiga pergerakan itu akan berlangsung selama sehari hari ini diikuti perhimpunan utama pada esok dan lusa.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata hala tuju kerjasama politik parti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan agenda Rumah Bangsa dijangka menjadi agenda utama PAU 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top