TFC curi tiga mata di Selayang

TFC curi tiga mata di Selayang

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terengganu FC (TFC) membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (KTRW) FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Derby pantai timur itu menyaksikan skuad Penyu yang dibimbing pemangku ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan sepanjang 90 minit dengan melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.

KTRW terlebih dahulu menguji kubu lawan pada minit ke-15 menerusi percubaan M Rakesh, namun sepakan yang dilepaskannya tersasar jauh daripada sasaran.

TFC kemudian berpeluang untuk berada di depan apabila tonggak import, Panshanbe Ehsoni memperoleh ruang melakukan percubaan, namun sepakannya sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada penjaga gol KTRW, Damyan Valeriy Damyanov.

Skuad Penyu terus menggandakan tekanan dan pada minit ke-34 giliran Azam Azmi Murad mencuba nasib menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun percubaannya turut tersasar.

Walaupun kedua-dua pasukan cuba mencari gol pembukaan, kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu terus menggandakan asakan dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi Ehsoni, namun percubaannya dari luar kotak penalti sekadar menggegarkan palang gol.

Tersentak dengan ancaman itu, barisan pemain KTRW yang dipimpin Akmal Rizal Ahmad Rakhli cuba memperkemaskan permainan bagi memburu jaringan dan hampir berada di depan menerusi tandukan Danial Haqim Draman hasil sepakan penjuru, namun bola hanya sedikit tersasar daripada gawang lawan.

Pasukan pelawat terus memberi tekanan apabila Saiful Jamaluddin melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun Damyan Valeriy sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Gol yang dinanti akhirnya tiba pada minit ke-58 apabila Raianderson da Costa Morais melakukan gerakan menarik sebelum menghantar bola kepada Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer yang tenang menyempurnakan peluang untuk meletakkan Terengganu di depan.

KTRW cuba bangkit mencari gol penyamaan namun benteng pertahanan Terengganu kekal ampuh mengekang asakan tuan rumah.

Damyan Valeriy sekali lagi mencuri tumpuan apabila pantas menerpa keluar untuk menafikan cubaan Ehsoni pada minit ke-68 ketika situasi satu lawan satu.

Shervoni Mabtshoev menjadi duri dalam daging buat KTRW apabila menyumbat gol kedua TFC menerusi sepakan penalti pda masa tambahan separuh masa kedua.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan TFC kini berada di kedudukan kelima Liga Super dengan 31 mata, manakala KTRW kekal di tangga ke-11 selepas mengumpul 15 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top