mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bapa kepada penyanyi terkenal, Wann Rashidah iaitu Meor Abdul Rashid Meor Abdul Salim atau Pak Meor, 78,
meninggal dunia di Hospital Selayang jam 9.25 malam tadi.
Perkara ini dimaklumkan oleh anaknya, Wan Samirah kepada Harian Metro.
Wan Samirah berkata, allahyarham ayahnya pada awalnya mempunyai masalah sakit hempedu yang mngandungi batu karang.
“Abah kemudian menghidap jangkitan kuman dalam perut, hati dan kencing manis serta asma diakhiri buah pinggangnya pula rosak kedua-dua belah.
“Hampir sebulan abah berada di hospital dibantu oksigen sehingga akhir hayatnya malam tadi, ayah pergi dihadapan kami anak, cucu cicit dan ramai lagi.
“Kami hanya mampu melihat abah perlahan-lahan meninggalkan kami,” katanya sayu.
Wan Samirah berkata, bagaimanapun kakak sulungnya, Wan Rashidah (Wann) dan Wan Intan Suraiya tidak sempat bersama ayah mereka buat kali terakhir.
“Kak long dengan kak Intan tidak sempat melihat abah. Mereka hanya melihat abah pergi ketika di dalam perjalanan,” katanya.
Jenazah akan diuruskan di
surau PPR Sri Aman, Jinjang pagi ini dan akan dikebumikan pada jam 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Batu Lima Jalan Ipoh (belakang komplek membeli belah) Sungai Mas.
Allahyarham meninggalkan tujuh anak dimana tiga diantara mereka merakamkan album iaitu Wann, Wan Salmiah (Hawa) dan Wan Samirah.
Terdahulu, ibu mereka iaitu Junaidah Shaari atau Miss June, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Jun 2024 akibat kanser hati dan dikebumikan di tanah perkuburan sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




