JAS Negeri Sembilan terima 130 aduan pembakaran terbuka

SEREMBAN: Sebanyak 130 aduan berkaitan pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dari Julai hingga setakat ini manakala dua kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah JAS Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin berkata, kebanyakan aduan yang diterima membabitkan aktiviti pembakaran yang dilakukan oleh penduduk di bandar dan luar bandar.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka bagi kes kebakaran belukar yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dilaporkan berlaku di kawasan Perindustrian Nilai 3 dan Nilai pada 24 Ogos lalu.

“Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 7 malam dan kerja-kerja pemadaman selesai kira-kira 8 malam. Satu lagi melibatkan kebakaran terbuka di sebuah tanah milikan pada 14 September lalu dan kini siasatan sedang dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi,

Katanya, pihaknya telah mengarahkan aktiviti pembakaran dihentikan serta memberikan nasihat kepada penduduk terbabit namun tindakan tegas tetap akan diambil sekiranya mereka masih berdegil.

“Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000.

“Jika dibawa ke mahkamah, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 dan maksimum hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Oleh itu tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka masih berdegil,” katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun pembakaran terbuka berskala kecil tidak memberi kesan ketara terhadap keadaan jerebu, aktiviti berkenaan tetap menjejaskan kualiti udara setempat terutama ketika cuaca panas dan berjerebu.

“Walaupun pembakaran sisa di kawasan luar bandar dibenarkan dalam keadaan tertentu, bagaimanapun penduduk digalakkan tidak melakukannya ketika cuaca berjerebu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata JAS Negeri Sembilan akan memperketatkan pemantauan di kawasan daratan khususnya terhadap aktiviti pembakaran terbuka susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa daerah.

Katanya, antara punca lain yang turut diberi perhatian termasuk aktiviti kilang, kuari, kenderaan bermotor, projek pembangunan dan pembukaan tanah yang boleh menyumbang kepada pelepasan habuk serta menjejaskan kualiti udara.-UTUSAN

Scroll to Top