Tehran: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan pada Jumaat bahawa mereka menyasarkan sebuah pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang didakwa digunakan sebagai tempat pelancaran bagi satu serangan ke atas sebuah sekolah.
Menurut pihak berkuasa Iran, satu serangan mengenai sebuah sekolah rendah perempuan pada Sabtu di daerah Minab di selatan negara itu, mengorbankan lebih daripada 150 orang termasuk pelajar.
AFP tidak dapat mengakses lokasi berkenaan untuk mengesahkan kejadian itu, mahupun mendapatkan pengesahan bebas mengenai jumlah korban.
“Pangkalan udara Al-Dhafra, milik pengganas AS di rantau ini disasarkan menggunakan dron dan peluru berpandu berketepatan tinggi,” kata IRGC dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen negara.
Bagaimanapun, Israel dan AS tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang dilaporkan itu.
Pentagon mengesahkan bahawa ia sedang menjalankan siasatan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, AS ‘tidak akan dengan sengaja menyasarkan sebuah sekolah’.
Dalam pada itu, akhbar The New York Times melaporkan pada Khamis, kenyataan tentera AS yang menunjukkan pasukan mereka menyerang sasaran tentera laut berhampiran Selat Hormuz, di mana sebuah pangkalan IRGC terletak, menunjukkan mereka berkemungkinan besar sudah melaksanakan serangan berkenaan.
Menurut laporan akhbar itu, analisis terhadap hantaran media sosial pada waktu serangan itu dan foto serta video daripada saksi menunjukkan, sekolah berkenaan terkena serangan pada masa yang sama dengan beberapa lokasi pangkalan tentera laut IRGC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




