am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelawak, Jep Sepahtu, 41, tampil menamatkan teka-teki mengenai status persahabatannya dengan anggota kumpulan Sepah, iaitu Shuib dan Mamat yang didakwa bergolak.
Menerusi sebuah video siaran langsung yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, baru-baru ini, Jep, atau pemilik nama Mohd Nadzri Zainal Abidin, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah peribadi, apatah lagi bermasam muka dengan kedua-dua rakannya itu.
Menurutnya, ketiadaan kolaborasi atau pertemuan ketika ini hanyalah disebabkan faktor kerja dan bukannya petanda hubungan mereka retak.
“Saya tak ada masalah pun dengan mereka. Untuk saya, saya tak bergaduh. Saya tak ada bermasam muka. Cuma mungkin (sekarang) tak ada urusan kerja, jadi bila tak berurusan, taklah bermakna (hubungan) kami tak baik. Saya pun tak pernah cakap benda-benda yang menyakitkan hati,” katanya.
Jep turut berkongsi, dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk bertemu, malah sedia meluangkan masa bersama Shuib dan Mamat sekiranya berkesempatan.
“Kalau saya jumpa mereka boleh sahaja nak bertegur, duduk dan minum sekali.
“Saya lebih suka kepada kedamaian dan ketenangan,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang tular, Jep menjelaskan ia bukanlah bertujuan untuk mencetuskan provokasi atau memalukan sesiapa, sebaliknya hanya satu bentuk penjelasan agar tidak timbul salah faham.
Dalam pada itu, Jep dengan rendah hati memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan daripada pihaknya sepanjang isu ini timbul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




