nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Dua suspek remaja lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung kematian penuntut kolej dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu tiba di mahkamah untuk proses sambung reman.
Kedua-dua suspek berusia 19 tahun termasuk seorang pelajar kolej di Kuala Krai tiba jam 8.50 pagi dengan diiringi pegawai polis.
Kedua-dua mereka sebelum ini ditahan reman tujuh hari yang berakhir hari ini sebelum dibawa ke mahkamah semula untuk proses sambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mayat penuntut kolej yang ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa berusia 19 tahun ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui di lokasi terbabit.
Susulan kejadian itu, polis menahan reman empat individu termasuk dua warga emas yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek sebelum warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd



