Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyelar tindakan Pemuda PAS Selangor yang terus mengkritik penganjuran pesta air, Rain Rave Festival di Bukit Bintang, Kuala Lumpur walaupun acara itu didakwa memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi Kuala Lumpur.
Menurut beliau, festival tersebut bukan sahaja berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung, malah membantu menjana pendapatan tinggi kepada peniaga tempatan di ibu negara.
“Rain Rave Festival di Bukit Bintang telah berjaya menjana pendapatan RM200 juta untuk peniaga di Kuala Lumpur dan menarik pengunjung seramai 180,000 orang.
“Tetapi, Pemuda PAS Selangor masih tak habis-habis menyerang Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing. Nampaknya mereka payah nak hadam kejayaan besar seperti ini,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Khamis.

Kok mendakwa, pemimpin PAS lebih cenderung memainkan peranan sebagai ‘polis moral’ berbanding membantu mempromosikan industri pelancongan negara secara aktif.
Beliau berkata, pemimpin pembangkang sepatutnya mengambil contoh pendekatan proaktif yang dilakukan Kementerian Pelancongan dalam menarik pelancong dan menganjurkan acara berskala besar.
“Saya menyeru pemimpin PAS belajarlah daripada Menteri Pelancongan untuk turun padang mempromosi program pelancongan. Mereka masih sibuk nak jadi moral polis dekat Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam masa sama, Teresa turut membangkitkan isu kemerosotan sektor pelancongan di Langkawi dan mempersoalkan usaha kerajaan negeri Kedah dalam memperkukuh promosi destinasi peranginan terkenal itu.
Beliau secara sinis membangkitkan penglibatan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam filem The Keris berbanding usaha agresif mempromosikan Pulau Langkawi.
“Kenapakah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi sibuk berlakon dalam filem The Keris daripada memainkan peranan yang agresif untuk mempromosi Pulau Langkawi?
“Adakah berlakon lebih penting daripada ekonomi rakyat?” soalnya.

Bekas Naib Presiden DAP itu turut mendakwa kerajaan negeri gagal memanfaatkan pengiktirafan antarabangsa yang diterima Langkawi untuk diterjemahkan kepada peningkatan jumlah pelancong.
“Pulau Langkawi mendapat kedudukan kedua dalam Top Islands Reader’s Choice Award. Tapi sayang, PAS Kedah gagal terjemah anugerah itu kepada angka pelancong,” kata Kok.
Sementara itu, beliau turut menyindir konsep pelancongan patuh syariah yang sering diketengahkan PAS dengan menyatakan parti itu sepatutnya tampil lebih kreatif dalam mempromosikan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.
“Sekiranya PAS mendakwa Langkawi adalah destinasi pelancongan patuh syariah, kenapakah mereka tak pernah buat program kreatif untuk tunjuk ulama dan pemimpin PAS berkelah di pantai Langkawi dengan pakaian tradisi Kedah?
“Itu baru promosi,” ujarnya lagi.

Malah, Teresa menggesa Pemuda PAS memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan di negeri-negeri yang ditadbir parti itu dan berhenti mengkritik usaha promosi pelancongan di Kuala Lumpur.
“Cukuplah politik sempit yang hanya tahu membantah tapi gagal membina.
“Saya cadang Pemuda PAS Langkawi menggembeling tenaga mereka untuk anjur program pelancongan di negeri-negeri bawah pentadbiran PAS sendiri.
“Fokuslah bangunkan pelancongan di negeri-negeri PAS dan jangan kacau usaha pelancongan di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Sumber: Facebook Teresa Kok



