Bank Rakyat lancar kad kredit patuh syariah untuk transaksi global

Bank Rakyat lancar kad kredit patuh syariah untuk transaksi global

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkukuh penawaran dalam segmen gaya hidup dan pelancongan menerusi pelancaran Bank Rakyat World Mastercard Credit Card-i, kad kredit premium patuh syariah yang menawarkan pelbagai manfaat eksklusif untuk pengguna aktif berbelanja serta melancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Shahril Mohd berkata, pelancaran kad kredit baharu itu dibuat selaras dengan permintaan pelanggan yang semakin cenderung kepada kemudahan transaksi global serta ganjaran perjalanan premium.

Katanya, kad kredit berkenaan menawarkan pulangan tunai pelancongan sehingga lima peratus selain sifar caj pertukaran mata wang asing (FX) bagi transaksi luar negara.

“Kad ini direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan yang aktif berbelanja di dalam dan luar negara selain menawarkan manfaat gaya hidup dan kemudahan perjalanan premium.

“Kami percaya rakyat Malaysia masih aktif melancong ke pelbagai destinasi termasuk dalam rantau Asia dan Eropah, sekali gus membuka peluang besar dalam segmen gaya hidup dan pelancongan,” katanya pada majlis pelancaran Bank Rakyat World Mastercard Credit Card-i di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; dan Pengurus Besar Mastercard bagi Malaysia dan Brunei, Beena Pothen.

Ahmad Shahril berkata, antara manfaat lain yang ditawarkan termasuk akses ruang menunggu lapangan terbang serta penjimatan bagi transaksi luar negara dalam mata wang asing.

Menurutnya, Bank Rakyat juga akan mempergiat promosi bagi memperluaskan penggunaan kad kredit berkenaan dalam kalangan pelanggan sedia ada dan baharu.

Katanya, bank itu kini mempunyai lebih empat juta pelanggan yang menjadi asas kukuh untuk memperkembangkan lagi penggunaan produk terbabit.

“Selain itu, pengguna kad akan menikmati penjimatan ketara apabila menggunakan kad itu bagi transaksi membabitkan mata wang asing,” katanya.

Bank Rakyat World Mastercard Credit Card-i menawarkan pulangan tunai lima peratus bagi tempahan hotel, pembelian tiket penerbangan dan transaksi makan, dengan had maksimum RM1,500 setahun.

Pemegang kad turut menerima enam kali akses percuma ke lounge lapangan terbang rangkaian Mastercard setiap tahun selain menikmati sifar caj penukaran mata wang asing bagi semua transaksi luar negara.

Kad itu juga menyediakan ganjaran dipertingkat menerusi 10 kali mata ganjaran Rakyat Rewards bagi setiap RM10 transaksi luar negara dan dua kali mata ganjaran bagi setiap RM10 transaksi domestik.

Selain manfaat perjalanan, kad berkenaan turut memberi akses kepada Mastercard World Privileges yang merangkumi perkhidmatan concierge perjalanan, manfaat hotel eksklusif, akses padang golf terpilih dan perkhidmatan perayauan data antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, fokus utama bank itu adalah memperkenalkan inovasi produk yang memberi nilai sebenar kepada pelanggan menerusi produk yang selari dengan gaya hidup dan nilai mereka.

Katanya, kad berkenaan dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pelanggan termasuk manfaat perjalanan dan penjimatan transaksi luar negara tanpa caj tersembunyi.

“Apabila digabungkan dengan rangka kerja patuh syariah kami, kad ini membuka peluang kepada pengembara Malaysia untuk meneroka dunia dengan lebih yakin sambil kekal mencerminkan keutamaan tempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top