mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Terengganu FC (TFC) membuktikan mereka bukan pasukan mudah kalah apabila menumpaskan Kelantan The Real Warriors (KTRW) 2-0 walaupun terpaksa beraksi tanpa kelibat empat tonggak utama yang biasanya menjadi tulang belakang pasukan.
Kemenangan itu bukan sahaja meletakkan TFC selesa di papan atas liga, malah menunjukkan kehebatan taktikal pasukan dalam mengatasi cabaran besar, sekali gus mengekalkan momentum positif menjelang baki saingan musim ini.
Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kemenangan itu walaupun separuh masa pertama menunjukkan pasukannya agak perlahan.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan keputusannya. Tapi kalau tengok permulaan tadi, kita agak lambat, perlahan. Saya agak kecewa untuk separuh masa pertama dengan keadaan yang kaku.
“Kita nampak pada mulanya Kelantan bermain dengan cara ‘low block’ dan saya nampak pemain kita kaku, tidak banyak bergerak dan tidak banyak melakukan pertukaran posisi. Jadi saya rasa nampak tidak lancar untuk separuh masa pertama,” katanya.
Beliau menegaskan ketiadaan empat tonggak utama tidak menjejaskan semangat pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Ketiadaan empat tonggak utama bukan masalah besar. Siapa yang menggantikan tempat Akhyar Rashid dan Shahrul Nizam, saya rasa mereka boleh bawa saja watak dan karakter itu. Tiada masalah.
“Cuma kita masih ada peluang, tapi kita tidak jaringkan gol awal. Kalau awal-awal kita jaringkan, saya rasa sudah boleh tamatkan permainan dan bermain lebih tenang untuk merancang serangan dari belakang,” katanya.
Mengenai tempoh ketiadaan Akhyar yang dijangka empat hingga enam minggu, Tengku Hazman berkata beliau sudah mempunyai strategi untuk menyesuaikan pasukan.
“Untuk masa sekarang, saya kena bersedia untuk letakkan orang lain di tempatnya. Dan apa yang saya tahu, ditambah lagi tiga pemain saya digantung perlawanan, jadi saya kena tetapkan semula pasukan dan cari jalan daripada sumber yang kita ada ini,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam menyaksikan TFC menguasai hampir sepanjang 90 minit perlawanan, memberi tekanan berterusan kepada KTRW dan akhirnya menjaringkan gol pertama pada minit ke-58 melalui Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer hasil hantaran menarik daripada Raianderson da Costa Morais.
Shervoni Mabtshoev menjadi duri dalam daging buat KTRW apabila menyumbat gol kedua TFC menerusi sepaka penalti pda masa tambahan separuh masa kedua.
Kemenangan itu meletakkan TFC di kedudukan kelima Liga Super dengan 31 mata, manakala KTRW kekal di tangga ke-11 selepas mengumpul 15 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




