Objektif serangan terhadap Iran gagal capai matlamat – Menteri Luar Iran

Objektif serangan terhadap Iran gagal capai matlamat – Menteri Luar Iran
Objektif serangan terhadap Iran gagal capai matlamat – Menteri Luar Iran

Seyed Abbas Araghchi. Foto Agensi

TEHERAN – Objektif serangan terkini terhadap Iran gagal mencapai matlamat yang diinginkan, kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, lapor IranNarrative yang memetik temu bualnya bersama NBC News.

Beliau mempersoalkan hasil operasi itu dan menegaskan pihak yang melancarkan serangan mungkin beranggapan mereka mampu meraih kemenangan pantas serta memaksa perubahan dalam struktur negara, namun institusi kerajaan Iran terus berfungsi.

Araghchi berkata, komander tentera yang terkorban sudah digantikan dan kepimpinan negara juga boleh diganti melalui mekanisme perlembagaan sekiranya perlu, sambil menegaskan struktur negara masih utuh serta beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, walaupun Iran menjadi sasaran, pasukan Iran melancarkan serangan balas terhadap beberapa sasaran di Israel serta kedudukan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat.

Araghchi juga mengecam serangan terhadap sebuah kapal tentera laut kira-kira 2,000 batu dari pantai Iran sambil menegaskan yang kapal yang tenggelam di Lautan Hindi itu tidak bersenjata dan membawa pegawai yang sedang menjalani latihan.

Menurutnya, menyasarkan kapal sedemikian adalah jenayah perang kerana kapal itu tidak terlibat dalam operasi tempur ketika serangan berlaku.

Sri Lanka pada Khamis memberikan perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 anak kapalnya, sehari selepas sebuah kapal selam Amerika Syarikat menenggelamkan kapal frigat Iran di Lautan Hindi.

Kapal sokongan IRIS Bushehr memohon kebenaran untuk berlabuh di Sri Lanka selepas Amerika Syarikat menyerang frigat IRIS Dena yang dalam perjalanan pulang selepas menyertai latihan tentera laut anjuran India dari 15 hingga 25 Februari di Visakhapatnam. – Bernama-IranNarrative

 

 

Ringkasan AI

  • Objektif serangan terkini terhadap Iran gagal mencapai matlamat yang diinginkan
  • Komander tentera Iran yang terkorban dalam serangan tersebut sudah digantikan
  • Pasukan Iran melancarkan serangan balas terhadap beberapa sasaran di Israel dan kedudukan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat
  • Serangan terhadap sebuah kapal tentera laut Iran di Lautan Hindi dikritik kerana kapal itu tidak bersenjata dan membawa pegawai yang sedang menjalani latihan
  • Sri Lanka memberikan perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 anak kapalnya setelah kapal frigat Iran ditenggelamkan oleh sebuah kapal selam Amerika Syarikat
Scroll to Top