Isteri kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid tampil mempertahankan diri selepas premis perniagaannya didakwa menjadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan Kota Damansara.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Shahida menyangkal dakwaan yang dilontarkan pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan menjelaskan bahawa premis perniagaannya sudah lama beroperasi di kawasan tersebut.
Menurut Shahida, dia sudah menjalankan perniagaan di wisma berkenaan sejak tahun 2015 dan merupakan antara individu terawal yang memulakan operasi di situ.
“Abang (Ahmad Idham) yang saya hormati, janganlah cakap kawasan wisma saya ini kawasan tak bertamadun.
“Saya sudah berada di wisma ini sejak 2015 dan bangunan ini saya beli sendiri. Ada lima lot semuanya dan saya orang pertama yang berpindah ke sini,” katanya.
Tambah Shahida, kawasan berkenaan turut menempatkan pelbagai jenis perniagaan lain dan bukan hanya premis miliknya sahaja yang beroperasi di situ.
“Di sini ada macam-macam perniagaan seperti kedai cuci kereta, kedai jubin dan sebelum ini pun pernah ada restoran. Jadi bukan saya seorang sahaja berniaga di kawasan ini,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Ahmad Idham meluahkan rasa tidak puas hati apabila kawasan sekitar wisma milik pasangan usahawan itu menjadi tumpuan orang ramai sehingga didakwa menimbulkan kesesakan lalu lintas.





