Presiden Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau tidak mengenali individu bernama Isham Jalil susulan kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu yang menggesa beliau merendahkan ego dan memohon maaf kepada pemimpin parti yang dipecat atau digantung.
Zahid tak kenal Isham Jalil
Memetik laporan Malaysia Gazette, Ahmad Zahif menyatakan secara ringkas bahawa dirinya tidak pernah mengenali Isham.
“Saya tidak kenal dia dan saya tidak pernah tahu dia,” jawab Ahmad Zahid secara ringkas ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Isham tersebut.

Isham Jalil saran Zahid minta maaf
Terdahulu, Isham Jalil dilaporkan menyarankan agar Ahmad Zahid berjumpa dan meminta maaf kepada pemimpin parti yang terlibat, berbanding meminta mereka ‘menghadapnya’.
Menurutnya, langkah itu lebih wajar dilakukan ketika UMNO berdepan cabaran kehilangan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU).

Mengulas lanjut perkara tersebut, Ahmad Zahid berkata, seperti dalam kenyataan beliau sebelum ini mengenai ‘Rumah Bangsa’, United Malays National Organisation (UMNO) terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk mereka yang pernah dipecat, digantung atau meninggalkan parti.
Walau bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa pengecualian mungkin berlaku terhadap individu yang tidak dikenalinya atau yang disifatkan sebagai masih ‘keras kepala’.
“Kita terima sesiapa sahaja, kecuali mungkin orang yang saya tidak kenal yang kepalanya masih keras.
“Dan saya bagi peluang untuk beliau, kalau beliau berada di dalam situasinya, saya harap beliau berjaya dengan misi dengan ‘keras kepala’ dia ini,” katanya.

Artikel lain: Ahmad Maslan puji Zahid ‘berjiwa besar’, jangka ramai akan kembali sertai UMNO
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Program Ihya Ramadan Al-Mubarak Tahun 2026 Sumbangan Kepada Asnaf Parlimen Bagan Datuk yang berlangsung di Dewan Dato Lope Hashim pada Sabtu.
Program itu menyaksikan seramai 1,584 penerima daripada kategori ketua isi rumah lelaki, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya menerima sumbangan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM246,800.
Turut hadir ialah Pengerusi Felcra Berhad, Ahmad Jazlan Yaakub serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Shahrul Zaman Yahya.




