Awas Umar, Sayyid datang!

helmi.talkah@bh.com.my

Serdang: Jaguh 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman kini mempunyai pencabar baharu dalam usaha mengekalkan status pelari nombor satu negara dengan kemunculan Muhammad Sayyid Amin Roslan yang mencipta sensasi di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Atlet Pulau Pinang itu membuktikan keputusan beralih daripada acara pecut ke 400m adalah tepat apabila merangkul pingat emas menerusi catatan 47.20 saat (s) pada aksi final di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Lebih manis, catatan berkenaan juga menjadi rekod peribadi terbaik (PB) buat Sayyid yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelari pecut 100m dan 200m.

Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Muhammad Daniel Haqie yang mencatat 47.61s, manakala seorang lagi wakil Pulau Pinang, Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam meraih gangsa selepas merekodkan 47.66s.

Kejayaan itu hadir selepas Sayyid membuat keputusan berani meninggalkan acara 200m untuk memberi tumpuan kepada 400m, walaupun sebelum ini dia pernah muncul juara 200m lelaki pada SUKMA Sarawak 2024.

Pada SUKMA Selangor kali ini, atlet berusia 19 tahun itu memilih untuk tidak mempertahankan emas 200m kerana tidak mahu mengambil risiko susulan masih dalam proses pemulihan kecederaan hamstring.

“Saya rasa ini satu kejutan sangat besar buat saya kerana tiga bulan lalu saya mengalami kecederaan pada kedua-dua hamstring dan baru kembali menjalani latihan di trek minggu lalu.

“Jadi, keputusan hari ini memang sesuatu yang mengejutkan, tetapi saya sangat gembira dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Menurut Sayyid, keputusan beralih ke 400m dibuat selepas menilai kemampuan dirinya ketika ini, terutama selepas menjalani latihan berasaskan ketahanan.

“Bukan bermakna saya tidak bersedia untuk bertanding dalam acara 200m, tetapi saya tahu perlumbaan mana yang lebih baik untuk saya buat masa sekarang dan saya memilih 400m.

“Saya menjalani beberapa latihan ketahanan dan ia memberi saya keyakinan untuk menyertai acara ini,” katanya.

Sayyid berkata, dia kini mahu memberi fokus sepenuhnya kepada 400m selepas mendapati potensinya lebih menyerlah dalam acara berkenaan.

Malah, kejayaan Umar mencatat masa 45.73s sebagai pemegang rekod kebangsaan menjadi inspirasi buatnya untuk memburu tahap lebih tinggi.

“Bersaing dengan Umar adalah satu persaingan yang baik kerana dia sudah berlari 45 saat. Itu memberi inspirasi kepada saya untuk terus memperbaiki diri.

“Insya-Allah satu hari nanti saya mahu menjadi orang kedua yang berlari dalam catatan 45 saat,” katanya.

Sementara itu, acara 400m wanita menyaksikan atlet Johor, Nor Malisya Mohd Ishak mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas dengan catatan 55.93s yang juga rekod peribadi terbaiknya.

Nor Malisya menewaskan wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda yang meraih perak menerusi masa 56.76s, manakala Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas merekodkan 57.03s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top