Lebih 71,000 peserta FELCRA terima agihan keuntungan RM302.9 juta

Lebih 71,000 peserta FELCRA terima agihan keuntungan RM302.9 juta

BAGAN DATUK – FELCRA Berhad mengumumkan agihan akhir keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM302.9 juta, melibatkan 71,680 peserta di seluruh negara.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Sabtu.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan agihan keuntungan FELCRA bagi tahun 2025 sebanyak RM632.76 juta yang merangkumi agihan interim, agihan bulanan serta agihan akhir kepada peserta.

“Kejayaan ini menjadi lebih signifikan kerana ia dicapai ketika FELCRA menyambut Jubli Intan penubuhannya, mencerminkan kematangan organisasi serta keupayaan berterusan syarikat dalam memperkasa ekonomi luar bandar.

“Pengumuman ini dibuat menjelang Aidilfitri bagi membolehkan para peserta membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pencapaian tersebut merupakan prestasi terbaik FELCRA dalam tempoh 15 tahun dan kedua terbaik sepanjang sejarah penubuhan agensi itu sejak 1966.

Tambahnya, prestasi kukuh itu didorong oleh peningkatan harga komoditi serta pengukuhan produktiviti ladang, khususnya kelapa sawit.

Purata harga Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada 2024 kepada RM4,283.33 pada 2025 iaitu kenaikan 2.42 peratus, manakala harga BTS keseluruhan turut meningkat daripada RM794 kepada RM850 satu tan.

Produktiviti ladang juga meningkat daripada 17.02 tan metrik sehektar kepada 18.15 tan metrik sehektar, bersamaan pertumbuhan 6.6 peratus.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen seluruh warga FELCRA dalam memastikan kecekapan operasi serta tadbir urus terus diperkasakan.

Menurutnya, asas pengurusan yang kukuh, pemantauan kos secara berdisiplin dan tumpuan terhadap peningkatan produktiviti membolehkan FELCRA menjana pulangan mampan kepada peserta walaupun berdepan cabaran pasaran komoditi.

“Agihan keuntungan ini dilaksanakan berdasarkan lebihan sebenar projek selepas mengambil kira kos operasi serta komitmen pembangunan ladang,” katanya.

Beliau menegaskan FELCRA akan terus memperkukuh strategi operasi dan tadbir urus korporat bagi memastikan projek kekal berdaya saing, mampan serta memberi manfaat berterusan kepada peserta dan komuniti luar bandar.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan serta duit raya kepada pelajar sekolah tahfiz sekitar Bagan Datuk.

Ringkasan AI

  • FELCRA Berhad mengagihkan keuntungan akhir RM302.9 juta untuk Projek Penyatuan dan Pemulihan bagi tahun 2025 kepada 71,680 peserta
  • Kejayaan ini disambut sempena Jubli Intan penubuhan FELCRA, menandakan kedewasaan dan kemampuan syarikat dalam meningkatkan ekonomi luar bandar
  • Prestasi ini merupakan yang terbaik dalam tempoh 15 tahun dan kedua terbaik sejak penubuhan FELCRA pada 1966
  • Peningkatan harga komoditi dan produktiviti ladang kelapa sawit menjadi faktor utama kejayaan ini
  • Agihan keuntungan ini bertujuan untuk membolehkan peserta membuat persiapan haidirfitri bersama keluarga
Scroll to Top