Pelakon, Riena Diana tampil mempertahankan golongan yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) selepas seorang individu di media sosial mempersoalkan bagaimana mereka mampu hidup di kawasan berkenaan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Riena mendedahkan dia sendiri pernah tinggal di PPR Air Panas, Setapak sekitar usia 18 hingga 20 tahun dan tidak pernah berasa malu dengan latar belakang tersebut.
Menurut Riena, dia malah berbangga dengan pengorbanan bapanya yang membesarkan keluarga dalam keadaan serba sederhana.
“Saya okay saja dulu duduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas di Setapak dari umur 18 hingga 20 tahun.
“Bangga dengan ayah saya yang jaga saya, adik dan nenek masa itu, itu saja dia mampu,” katanya.
Riena turut berkongsi pengalaman bekerja sebagai jurujual di sebuah premis permainan kanak-kanak ketika menetap di kawasan itu.
Katanya, dia sering pulang lewat malam selepas bekerja, namun tetap bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik.
“Hari-hari saya balik kerja lewat malam sebab kerja sales girl dekat Toys ‘R’ Us, parking jauh. Alhamdulillah selamat.
“Sikit pun tak pernah mengeluh,” katanya lagi.
Dalam masa sama, pelakon itu turut menegur individu terbabit supaya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
“Mungkin lain kali jaga kata-kata awak sebelum menulis sesuatu.
“Tak semua orang ada rezeki macam awak nak duduk di tempat mewah dan tempat tidak busuk,” tulisnya.

Terdahulu, seorang individu mencetuskan perdebatan di media sosial apabila mempersoalkan bagaimana penghuni PPR mampu hidup di kawasan berkenaan yang didakwanya berbau busuk selain dipenuhi anjing liar dan sampah.




