Ayam RM10 untuk warga Kangar laris

Ayam RM10 untuk warga Kangar laris

KANGAR: Jualan ayam serendah RM10 seekor laris bersempena penganjuran Program Meriahkan Ramadan di pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semalam.

Menerusi program anjuran Yayasan Khayr Ummah (iKAF) dan pejabat Dr. Fathul Bari itu,
sebanyak 500 ekor ayam disediakan, dijual secara kombo bersama sayur pada harga tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sambutan diterima menerusi jualan itu sangat memberangsangkan malah kebanyakan pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat sekitar Kangar.

“Tahun ini, kita buat awal sikit program seperti ini kerana ingin memberi peluang kepada masyarakat untuk fokus beribadat dan bersama keluarga khususnya menjelang 10 hari terakhir Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, di sini, semalam.

Terdahulu, Fathul Bari turut bersama kepemimpinan semua peringkat dan masyarakat setempat pada majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Kangar.

Fathul Bari berkata, selain ayam, terdapat beberapa barangan lain ditawarkan pada harga murah seperti telur, tembikai dan beras.

Katanya, penganjuran jualan murah itu turut mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu menyediakan peluang dan ruang buat masyarakat berbelanja bersempena Ramadan.

“Penganjuran program ini bukan sekadar untuk berkongsi rezeki namun bagi membantu meringankan bebanan ditanggung khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Fathul Bari berkata, selain jualan berkenaan, penganjuran program itu turut memberi fokus kepada penyampaian sumbangan buat anak yatim dan asnaf menerusi agihan zakat daripada Boustead Holdings berjumlah RM20,000.

Katanya, semua agihan sumbangan itu diberikan kepada mereka yang dihimpunkan daripada setiap kampung dalam Parlimen Kangar melalui cawangan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

“Insya-Allah, tahun depan kita akan meriahkan lagi program ini dengan penganjuran lebih besar agar lebih ramai orang mendapat manfaat menerusi inisiatif ini,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top