am@hmetro.com.my
Bagan Datuk: ‘Saya tak kenal dialah… Dan saya tak pernah tahu dia,’ kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya reaksi beliau terhadap kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, yang menolak sertai semula UMNO dan menuntut Ahmad Zahid memohon maaf kepada mereka yang dikenakan tindakan.
Isham turut menyarankan supaya Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri bertemu pemimpin parti itu yang pernah dipecat dan digantung sebelum ini bagi menyatakan permohonan maaf sebelum menjemput mereka menyertai perjuangan berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah bertemu beberapa kali dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada UMNO pada 2023 dalam majlis, dan akan bertemu secara rasmi bagi penyertaan ke gagasan Rumah Bangsa.
“Saya bertemu beberapa kali dalam majlis dan insya-Allah secara rasminya beliau berhasrat untuk bertemu dengan saya. Sebagaimana yang saya nyatakan dalam kenyataan mengenai Rumah Bangsa, kita terima sesiapa sahaja.
“Kecuali mungkin orang saya tidak kenal yang kepalanya masih keras, saya bagi peluang untuk beliau dan kalau beliau berada di dalam situasinya, saya harap beliau berjayalah dengan misi dengan keras kepalanya itu, okey,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas majlis Program Ihya’ Ramadhan Al-Mubarak 1447H / 2026M Sumbangan Kepada Asnaf Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
Program itu membabitkan sumbangan kepada 1,584 orang penerima dari kategori anak yatim, ibu tunggal, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) membabitkan nilai RM246,800.
Hadir sama Pengerusi FELCRA Berhad yang juga Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid dalam pada itu menyifatkan sambutan terhadap gagasan Rumah Bangsa sangat baik dan menggalakkan, dengan berpandukan rahmat Ramadan.
Beliau berkata, biarpun penyertaan ke gagasan itu dibuka tanpa syarat, permohonan secara rasmi perlu dibuat kepada jawatankuasa supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.
“Sangat-sangat menggalakkan dan sangat-sangat baik… sempena Ramadan ini. Saya tak pasti (namun) saya fikir kerana kesedaran baharu sudah timbul dalam kalangan mereka yang berkenaan.
“Jawatankuasa ini (Jawatankuasa Rumah Bangsa) dipengerusikan oleh Datuk Seri (Mohamed) Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO). Beliau sudah mengadakan mesyuarat dan saya yakin ia tidak mengenakan sebarang syarat tetapi beliau mahu permohonan itu dibuat secara rasmi supaya tidak timbul masalah di belakang hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




