Eropah pegang ‘kunci’ operasi AS ke atas Iran

Eropah pegang ‘kunci’ operasi AS ke atas Iran

WASHINGTON: Presiden Donald Trump kini sedar Eropah memainkan peranan strategik penting dalam kempen ketenteraan terhadap Iran, memandangkan wilayah, pangkalan dan ruang udara di benua itu menjadi ‘kunci’ kepada operasi Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Selama bertahun-tahun, Trump sering mengkritik Eropah kerana terlalu bergantung kepada payung keselamatan AS, namun kini benua itu memegang aset penting yang diperlukan Washington untuk meneruskan serangan di Iran.

Walaupun Eropah masih bergantung kepada AS melalui institusi seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), ia kini mempunyai pengaruh penting kerana kedudukan geografi dan kemudahan ketenteraan yang memberi kelebihan kepada operasi Washington di Asia Barat.

Sejak 28 Februari lalu, AS melancarkan pencerobohan ke atas seluruh Iran, konflik ketenteraan terbuka pertama sepanjang tempoh kedua Trump sebagai presiden, yang bergantung kepada sokongan sekutu walaupun secara tidak formal.

“Ini menandakan hakisan kepercayaan, AS membayar harga kerana tidak menunjukkan solidariti dengan sekutu, dan kini beliau boleh menjadi penerima sokongan mereka yang tidak konsisten,” kata felo terkemuka di Dana Marshall Jerman AS, Ian Lesser.

Beliau minggu ini mengejek Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, sebagai ‘bukan Winston Churchill’ dan mengugut untuk memutuskan perdagangan dengan Sepanyol setelah Madrid meletakkan had kepada kemudahan operasi tentera AS di wilayahnya.

Namun, kedua-dua pemimpin itu tetap berpegang pada pendirian, menolak tekanan Washington untuk memberi akses penuh kepada pangkalan dan ruang udara mereka bagi operasi ke atas Iran.

Meskipun Trump tidak membina gabungan khusus untuk kempen Iran, perang itu banyak bergantung kepada wilayah Eropah, termasuk pangkalan, pelabuhan serta ruang udaranya.

Pegawai Eropah berkata, AS juga bergantung dengan benua itu untuk mengumpulkan maklumat risikan, perdagangan dan penyelarasan mengenai Ukraine.

Sehingga kini, negara-negara Eropah enggan mengambil bahagian dalam kempen ketenteraan Trump di Iran.

Meskipun Eropah tidak menyertai serangan, pegawai menegaskan konflik yang berlarutan boleh mengheret benua itu lebih jauh ke dalam logistik, diplomasi dan kemungkinan besar perang.

Trump sebelum ini kerap menimbulkan pertikaian mengenai Greenland, mengugut pelaksanaan tarif dan secara terbuka meremehkan sumbang sekutu seperti UK dalam perang Afghanistan.- BLOOMBERG

 

Scroll to Top