Kuala Lumpur: Di sebalik tekanan penampilan yang sering dihadapi pengacara dan personaliti, Hawa Rizwana tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak menjalani pembedahan plastik.
Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 31, berkata dia lebih percaya kepada rawatan estetik bukan invasif untuk mengekalkan kecantikan semula jadi tanpa perlu mengubah wajah secara keterlaluan.
Menurutnya, sebagai figura awam yang aktif di media sosial dan sering tampil di kaca televisyen, dia tidak menafikan kerap menerima komen berkaitan penampilan.
“Sebagai orang yang selalu muncul di televisyen dan aktif di media sosial, saya tidak boleh lari daripada komen tentang rupa. Ada komen membina, tetapi ada juga yang boleh memberi tekanan,” katanya.
Bagaimanapun, Hawa berkata, ‘tekanan’ itu tidak seharusnya mempengaruhi keputusan besar berkaitan wajah dan identiti diri.
“Pembedahan plastik bukan satu pilihan untuk saya. Saya tidak mahu mengubah wajah hanya kerana standard atau komen orang.
“Saya cuma mahu menambah baik apa yang sudah ada. Bagi saya, kecantikan itu datang daripada penjagaan yang konsisten, bukan perubahan drastik,” katanya.
Sementara itu, Hawa berkata, rawatan anti-penuaan moden boleh menjadi langkah pencegahan yang bijak dalam mengekalkan seri wajah dan keanjalan kulit secara progresif serta selamat.
Menurutnya, rawatan estetik bukan invasif memberi pilihan kepada individu yang mahu menjaga penampilan tanpa perlu melalui prosedur pembedahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



