Fairford, United Kingdom (UK) : Amerika Syarikat (AS) mula menggunakan pangkalan British untuk operasi tertentu menentang Iran semasa perang Timur Tengah, umum Kerajaan UK pada Sabtu.
Kementerian pertahanan UK berkata, AS mula menggunakan tapak tentera untuk “operasi pertahanan khusus bagi menghalang Iran daripada menembak peluru berpandu ke rantau ini.”
Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump menolak apa yang dikatakannya sebagai rancangan UK untuk kemungkinan menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke rantau ini – beberapa jam selepas menyindir Perdana Menteri Keir Starmer kerana keengganannya pada awalnya untuk terbabit dalam konflik itu.
Starmer menjengkelkan Trump kerana pada mulanya enggan memainkan sebarang peranan dalam perang AS-Israel dengan Iran, yang bermula pada 28 Februari.
Beliau kemudiannya bersetuju dengan permintaan AS untuk menggunakan dua pangkalan tentera UK untuk “tujuan pertahanan khusus dan terhad.”
Pangkalan tersebut ialah Fairford di Gloucestershire, barat daya England, dan pangkalan UK-AS Diego Garcia di Kepulauan Chagos di Lautan Hindi.
Seorang jurugambar AFP melihat sebuah pesawat pengebom B-1 Lancer Tentera Udara AS mendarat di Fairford pada Sabtu.
Sebuah pesawat C-5 Galaxy milik AS juga dapat dilihat di landasan pangkalan, ketika penunjuk perasaan antiperang berdemonstrasi di luar.
Awal minggu ini, Trump mengatakan bahawa beliau “tidak gembira dengan UK” dan mengejek Starmer, dengan mengatakan “ini bukan Winston Churchill yang kita sedang berurusan.”
Kemudian dalam catatan lewat Sabtu di platform Truth Socialnya, beliau menolak apa yang dikatakannya sebagai rancangan UK untuk mungkin menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke rantau ini.
“United Kingdom, Sekutu Besar kita yang dahulunya, mungkin yang Terhebat dari mereka semua, akhirnya memikirkan secara serius untuk menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke Timur Tengah,” tulisnya.
“Tidak mengapa, Perdana Menteri Starmer, kita tidak memerlukan mereka lagi. Tetapi kita akan ingat.
“Kita tidak memerlukan orang yang menyertai Perang setelah kita menang!” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




