“Syabas PDRM PERDA!”- Dakwa diserang, Zamri Vinoth syukur seorang suspek ditahan

“Syabas PDRM PERDA!”- Dakwa diserang, Zamri Vinoth syukur seorang suspek ditahan

Pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang lantang memperjuangkan isu pencerobohan tanah mendakwa dia telah diserang sekumpulan individu dalam satu kejadian baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Zamri berkata kumpulan berkenaan melakukan serangan secara hendap, namun dia sempat bersembunyi dan menyelamatkan diri.

“Mereka bawa kayu, batu dan buat percubaan untuk pukul. Alhamdulillah mereka baling batu pecah cermin kereta,” katanya.

Zamri Vinoth syukur seorang suspek ditahan

Dalam hantaran berasingan, beliau turut meluahkan rasa syukur selepas dimaklumkan seorang suspek sudah ditahan pihak berkuasa.

“Alhamdulillah, seorang dah kena tangkap.
“Syabas PDRM PERDA! Kami takkan berganjak dari Bukit Mertajam selagi kesemua mereka ditangkap!
“Penang bukan milik kuil haram untuk kamu nak buat samseng,” tulisnya.

Memetik laporan Harian Metro, seorang pekerja kilang berusia 20 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap Zamri.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nik Muhammad Shahrul Aiman Kamalrulzaman bermula hari ini hingga Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail mengesahkan pihak polis menerima laporan daripada Zamri berhubung kejadian itu sebelum menahan seorang lelaki pada awal pagi tadi.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Siasatan masih dijalankan,” katanya kepada New Straits Times ketika dihubungi.

Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah, manakala Seksyen 427 pula membabitkan kesalahan melakukan khianat.

Artikel lain: Himpunan GARAH: Sah! Zamri Vinoth, beberapa individu lain ditahan – Ketua Polis KL

Difahamkan, suspek merupakan pemilik sebuah motosikal yang muncul dalam video tular memaparkan serangan terhadap Zamri kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia, semalam.

Suspek dilaporkan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah oleh Polis Diraja Malaysia.

Polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam serangan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Scroll to Top