GERIK: Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kecurian kabel telekomunikasi di Kampung Star Kecil, Kerunai pada pukul 9.52 malam semalam.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu kemudian berjaya mengesan suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di persimpangan Taman 1Malaysia pada pukul 11.38 malam.
“Kenderaan polis dibantu MPV IPD Gerik terus mengejar suspek yang melarikan diri menghala ke Jalan Gerik-Kupang sehingga memasuki kawasan Baling, Kedah.
“Ketika dikejar, seorang daripada suspek bertindak membaling alat pemotong, paku dan kabel ke arah MPV polis bagi menghalang pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika kejadian itu, kenderaan dipandu suspek terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Panjang pada pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, pemilik rumah yang tinggal bersama ibu dan adik perempuannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Berdasarkan maklumat daripada pemilik rumah, kedua-dua suspek melarikan diri sejurus kemalangan berlaku,” katanya.
Tambah beliau, hasil risikan yang dijalankan mendapati kenderaan digunakan suspek merupakan kenderaan sewa.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut menemukan 20 gulung kabel, sebuah telefon bimbit jenis Realme, tiga pemotong kabel dan satu pencungkil besi
“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. – UTUSAN




