Lelaki OKU mental ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Bachok

Lelaki OKU mental ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Bachok

am@hmetro.com.my

Bachok: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Mujur, Jelawat di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Che Mohamad Faizul Che Sulaiman, 41 ditemukan maut di dalam bilik tidurnya selepas dipercayai membakar rumahnya akibat masalah mental.

Ibunya, Rohani Mohamed, 66 berkata, ketika kejadian anak keduanya itu mengamuk dan mengugut untuk menamatkan riwayatnya dengan menggunakan pisau namun berjaya dihalang ahli keluarga.

Katanya, tidak lama selepas itu, anaknya yang menghidap masalah mental sejak 10 tahun, mengurung diri di dalam bilik tidurnya sebelum dikejutkan dengan api marak daripada dalam bilik berkenaan dan merebak ke seluruh rumah.

“Anak lain menjerit ‘ma (ibu)… api’, saya jerit tendang pintu tu (bilik mangsa) , rupanya dia bakar kain selimut, dia ada pemetik api sebab hisap rokok, anak-anak lain tendang pintu yang berkunci, heret dia keluar.

“Tapi dia masuk balik (ke dalam bilik yang terbakar), masa api tengah marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Mujur, Jelawat, di sini, hari ini.

Rohani berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah itu bersama empat anaknya, termasuk mangsa.

Katanya, tiga lagi anak adalah Che Mohamad Firdaus, 39; Che Nor Ezzah, 38 dan Che Mohamad Hafiz, 28, lari sehelai sepinggang selepas api marak.

“Sebelum ini, walaupun dia ada sakit mental, anak tidak pernah mengamuk atau menyusahkan keluarga, malah dia turut menyara keluarga dengan berniaga atas talian,” katanya yang memaklumkan kejadian itu bukan sahaja mengorbankan anaknya, malah memusnahkan rumah mereka, dua kereta dan tiga motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.15 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 9.38 pagi dan mangsa dijumpai jam 9.43 pagi, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang satu jam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top