am@hmetro.com.my
Kuching: Sebuah rumah di Lorong Bahagia 5, Kampung Bahagia Jaya, Teku di Sibu, musnah dalam kebakaran beberapa minit menjelang waktu berbuka puasa, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, rumah jenis struktur tidak kekal itu terbakar sepenuhnya.
Beliau berkata, turut musnah dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal Yamaha 135LC.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.49 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 6.59 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira lapan kilometer dari balai,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Sibu Sentral dengan kekuatan keseluruhan 19 anggota.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.20 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan, manakala kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




