'Pak belang' muncul di Kluang

'Pak belang' muncul di Kluang

am@hmetro.com.my

Kluang: Penduduk diminta berwaspada berikutan penularan video mengenai kelibat seekor harimau belang di kawasan kebun berhampiran Kampung Rahmat, Sri Lalang di sini, semalam.

Kelibat harimau terbabit dipercayai dirakam oleh seorang pemilik kebun yang ketika itu dalam perjalanan mengambil pekerjanya tidak jauh dari lokasi.

Mereka dikatakan terdengar bunyi sesuatu sebelum melihat kelibat harimau belang melintas di hadapan pacuan empat roda dinaikinya mereka ketika sedang melalui jalan tanah merah untuk ke kebunnya.

Bagaimanapun, kelibat raja rimba itu hilang sebelum ia muncul kembali di sebalik semak berdekatan kebun penduduk.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon turut mengesahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sudah menerima laporan itu.

Menurutnya, anggota dan pegawai Perhilitan sudah bergerak ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai penemuan harimau terbabit.

“Bagi mereka yang ternampak hidupan liar, jangan cuba mendekati atau mengganggu haiwan kerana ia boleh membahayakan diri.

“Sila kekal menjauhi kawasan berkenaan dan buat laporan segera kepada polis atau Perhilitan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan seekor harimau belang di sebalik semak. Menerusi video berdurasi 1.36 saat itu, harimau belang itu dilihat bergerak perlahan di celah semak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top