Bandar Permaisuri: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terjatuh ke dalam cerun di Jalan Kampung Sungai Bari, Setiu awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Mohd Nazri Ibrahim, 49, dari Kampung Sungai Bari di sini, sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Batu 29 menuju ke Kampung Langkap.
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ke sebelah kiri sebelum melanggar penghadang jalan dan terjatuh ke cerun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Zahril Asri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Saksi kejadian diminta menghubungi Pejabat Trafik IPD Setiu atau Inspektor Mohamad Thaufiq Ahmad Azudin menerusi talian 011-2606 9043 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




