redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bandar Baharu: “Daddy sedih ke? Tak apa daddy tak payah sedih, daddy kan kuat tak payah nangis,”.
Itu ayat spontan diungkapkan Aludra Ilona Afrinia, 5, atau nama manjanya Anje ketika melihat bapa, Mohd Ezrin Afrizal Roslan, 39, menangis ketika menziarahi pusara ibunya, Allahyarham Izzati Idris di sebuah tanah perkuburan dekat Kuala Kangsar, Perak.
Video itu meraih perhatian ramai selepas Mohd Ezrin Afrizal memuat naiknya di TikTok dan meninjau ruangan komen, rata-ratanya tersentuh melihat Anje yang seolah mengerti perasaan dan cuba memujuk bapanya walaupun masih kecil.
Bercerita lanjut, Mohd Ezrin Afrizal yang menetap di Selama, Kedah berkata, video itu dirakam ketika dia menziarahi pusara Allahyarham isteri tercinta pada awal bulan lalu.
Menurut Mohd Ezrin Afrizal, menjadi rutinnya untuk merakam video setiap kali menziarahi pusara isteri sebagai kenangan.
“Setiap kali ke kubur Allahyarham isteri, saya akan luahkan apa yang terbuku di hati seolah bersembang dengan arwah.
“Saya tak suka tunjuk sedih jauh sekali menangis bila ke kubur cuma hari berkenaan, saya ‘bercerita’ macam biasa namun tak dapat kawal perasaan hingga akhirnya menangis.
“Kebetulan, Anje teman saya ke kubur pada hari itu cuma asalnya dia duduk di bangsal namun tiba-tiba datang memujuk saya. Waktu itu memang tersentuh dan terkedu dibuatnya kerana tak sangka ayat itu datang daripada Anje,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohd Ezrin Afrizal berkata, isterinya dijemput Ilahi pada 19 September tahun lalu di Hospital Labuan akibat komplikasi dalaman selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka, Alvira Indah Afrinia Mohd Ezrin Afrizal.
Lebih menyedihkan, Allahyarham Izzati meninggal dunia selepas 10 jam melahirkan Alvira Indah Afrinia yang kini berumur lima bulan.
“Ikutkan keadaan isteri okay sebelum bersalin kerana tiada masalah kesihatan cuma arwah melahirkan anak kami secara pembedahan di Hospital Labuan.
“Tapi akibat komplikasi, isteri meninggal dunia dan sedihnya bila tak ada disisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir kerana di rumah waktu itu menguruskan anak lain ralat kerana arwah ada pesan minta sup sayur ikan merah tapi tak sempat bawakan untuknya.
“Tak sangka namun Allah SWT lebih menyayanginya dan hilang sebelah tangan selepas isteri tiada ibaratnya kehidupan berubah 180 darjah,” katanya.
Menurut Mohd Ezrin Afrizal, anak sulung, Alexandra Izzahra Afrinia, 10, sudah mengerti malah menjadi penguat dan dia juga yang bantu menenangkan saya ketika sedih.
“Cuma Anje (anak kedua) banyak tanya Mummy (panggilan anak buat isteri) tak balik ke waktu awal pemergian isteri dulu dan saya beritahunya yang arwah di syurga.
“Puasa ini bertambah rindu kerana pertama kali sambut Ramadan tanpa isteri kerana waktu arwah ada dulu, dia rajin buat kuih untuk jual dan saya bantu hantar… kiranya kami sama-sama cari duit untuk raya.
“Rindu juga nak pakai baju sedondon dengan anak dan bersalaman di pagi raya tapi semua itu tinggal kenangan. Tarikh ulang tahun kelahiran kami pun tak jauh dan isteri selalu bagi hadiah cuma yang pemberian terakhir paling bermakna kerana dia hadiahkan saya bayi dinamakan Alvira Indah Afrinia,” katanya yang kini tinggal bersama anak sulung dan kedua manakala cahaya mata bongsu dijaga kakak iparnya di Selayang, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




