Suami isteri warga emas maut kereta terbabas masuk longkang

Suami isteri warga emas maut kereta terbabas masuk longkang

am@hmetro.com.my

Jempol: Pasangan suami isteri warga emas maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang dekat sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menaiki kereta Proton Saga dari arah Simpang Pertang menuju ke Kuala Pilah.

Katanya, kereta dipandu lelaki berusia 75 tahun manakala isterinya berusia 65 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas pemandu kereta hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas masuk ke dalam longkang.

“Akibat kejadian ini kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 0162348669.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top