Melbourne: Sekumpulan besar peminat Formula Satu (F1) dilapor mengambil pelbagai barangan dari litar Albert Park sejurus tamat Australia Grand Prix, termasuk peralatan, papan tanda malah cat di atas permukaan trek.
Perlumbaan edisi 2026 itu mencatat kehadiran luar biasa dengan jumlah penonton selama empat hari mencecah 483,934 orang di Albert Park, sebelum tirai dilabuhkan Ahad lalu dengan kemenangan milik pelumba Mercedes dari Britain, George Russell.
Sebaik saja acara rasmi berakhir, ribuan peminat meluru masuk ke litar Albert Park bagi merakam kenangan sendiri di trek yang menjadi pentas perlumbaan berprestij itu.
Namun bagi sebahagian penyokong tegar, sekadar bergambar belum cukup kerana mereka mahu membawa pulang sesuatu sebagai kenangan.
Papan tanda, poster, sepanduk dan khemah pameran pantas ‘disapu’, malah ada yang turut mengambil papan tanda amaran seperti “dilarang masuk”.
Lebih mengejutkan, beberapa peminat turut dirakam mengikis cat dan getah pada permukaan trek untuk dijadikan cenderamata peribadi.
Seorang peminat menulis di media sosial bahawa dia melihat ramai orang mengambil rumput dari kawasan litar seolah-olah ia bukan taman awam yang boleh dikunjungi pada hujung minggu lain sepanjang tahun.
Seorang lagi peminat pula mendakwa membawa pulang cenderamata yang lebih berharga iaitu serpihan kecil dari jentera McLaren milik pelumba Australia, Oscar Piastri.
Piastri gagal menyertai perlumbaan selepas terbabas sebelum perlumbaan bermula, dan dipercayai ada serpihan kecil jentera yang terlepas daripada proses pembersihan.
Bagaimanapun, ada pengguna media sosial yang ragu-ragu dengan dakwaan itu dan menyatakan pihak keselamatan mungkin merampas barangan berkenaan sebaik peminat meninggalkan trek.
Cabaran itu membuatkan beberapa peminat berkongsi gambar ‘harta’ F1 yang berjaya dibawa pulang dan disimpan selamat di rumah.
Malah, ada individu yang berjaya menanggalkan peta pelawat bersaiz besar dari kawasan litar.
Seorang pengguna lain bertanya bagaimana perkara itu boleh dilakukan kerana dia cuba membawa keluar peta sama tetapi dirampas di pintu keluar trek.
Individu berkenaan menjawab ringkas: “Letakkan saja di bawah pagar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




