“TIDAK semua orang mampu pergi ke kedai gunting rambut, jadi biarlah saya yang datang kepada mereka.”
Demikian prinsip yang dipegang oleh Muhammad Irfan Fikry Ismail, 22, yang menjalankan perniagaan gunting rambut bergerak atau mobile barber di sekitar Batu Rakit di Kuala Nerus, Terengganu.
Menurut Irfan, dia memilih untuk menawarkan perkhidmatan tersebut bukan sekadar untuk mencari pendapatan sampingan, sebaliknya kerana memahami kekangan yang dialami pelanggan yang mempunyai masalah kecacatan fizikal.
Katanya, idea untuk bergerak dari rumah ke rumah tercetus apabila dia menyedari terdapat segelintir masyarakat yang sukar mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai disebabkan faktor kesihatan.
“Saya memilih konsep bergerak kerana ia lebih memudahkan pelanggan, terutamanya mereka yang sedang sakit atau golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kelebihannya, pelanggan tidak perlu membuang masa menunggu giliran di kedai. Saya akan datang mengikut masa lapang dan keselesaan mereka,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Walaupun hanya menjalankan kerja itu secara sambilan pada waktu pagi dan malam, Irfan mengakui permintaan yang diterima amat menggalakkan malah pernah memperoleh hampir RM150 sehari.

Beg yang digunakan Muhammad Irfan Fikry turut menjadi medium promosi tidak langsung bagi perkhidmatan yang ditawarkannya.
Namun, di sebalik kemudahan yang diberikan kepada pelanggan, Irfan mengakui berdepan cabaran tersendiri kerana hanya bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama.
“Cabaran paling besar ialah apabila berada di jalan raya ketika hujan. Saya tidak mempunyai kereta, jadi pergerakan agak terbatas dan memang mencabar jika hujan lebat ketika dalam perjalanan ke rumah pelanggan,” jelasnya.
Berkat sokongan orang ramai yang menularkan perkhidmatannya di media sosial, Irfan kini memasang impian lebih besar untuk memajukan kerjayanya dalam bidang dandanan rambut.
“Setakat ini saya menyediakan perkhidmatan gunting rambut lelaki dan wanita, cuci rambut (hair wash) serta trim. Selain itu, saya juga memberi fokus kepada pelanggan tetap di kawasan berhampiran rumah.
“Insya-ALLAH, saya menyimpan impian untuk membeli sebuah kereta bagi memudahkan perjalanan ke rumah pelanggan walaupun dalam keadaan hujan,” katanya yang turut bercita-cita membuka kedai gunting rambut sendiri suatu hari nanti.
Dalam pada itu, Irfan berkata, sikap cekal serta sentiasa menjaga hubungan baik dengan pelanggan merupakan kunci utama kejayaan seseorang peniaga.
“Nasihat saya, jangan mudah berputus asa. Sentiasa belajar perkara baharu dan menambah ilmu serta kemahiran yang mungkin tidak dimiliki orang lain.
“Bagi mereka yang meminati bidang ini, perlu pandai menjaga hati pelanggan dan memberikan perkhidmatan terbaik sehingga mereka benar-benar berpuas hati,” katanya yang mempromosikan perkhidmatan tersebut melalui WhatsApp dan Facebook.
Ringkasan AI
- Muhammad Irfan Fikry Ismail menjalankan perniagaan gunting rambut bergerak di sekitar Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu
- Irfan menawarkan perkhidmatan bergerak sebagai solusi kepada pelanggan yang menghadapi kekangan kecacatan fizikal
- Konsep perkhidmatan bergerak memudahkan pelanggan, khususnya mereka yang sakit atau OKU tanpa perlu menunggu giliran di kedai
- Irfan menghadapi cabaran dalam perniagaannya kerana bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama dan keadaan cuaca
- Impiannya adalah membeli sebuah kereta untuk memudahkan perjalanan ke rumah pelanggan dan suatu hari nanti membuka kedai gunting rambut sendiri



