Selepas lima tahun dingin, Shuib terharu Rahim angkat ‘call’ – “Rindu, dia macam abang saya sendiri”

Selepas lima tahun dingin, Shuib terharu Rahim angkat ‘call’ – “Rindu, dia macam abang saya sendiri”

Selepas lima tahun hubungan dingin akibat salah faham, persahabatan antara pelawak Shuib dan Rahim akhirnya kembali pulih apabila kedua-duanya memilih untuk berdamai.

Menurut laporan mStar, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, berkata, dia tidak lagi mampu menahan rasa rindu terhadap sahabat lamanya itu sehingga mengambil keputusan untuk menghubungi Rahim menerusi panggilan video.

“Rahim bukan sekadar rakan kerja, dia memang sahabat dan sudah macam abang saya sendiri.
“Sepanjang lima tahun ini hubungan kami memang tidak berapa baik. Terus terang saya cakap, saya memang rindu hendak jumpa dia, berbual dan bergurau semula.
“Sebab Rahim ini lain, hubungan kami lebih daripada urusan kerja. Banyak perkara di luar kerja yang saya rindukan tentang dia,” katanya.

Shuib berkata, sebelum ini mereka pernah berbalas mesej namun keberaniannya untuk menghubungi Rahim hadir selepas mendapat galakan daripada rakan mereka, Mamat Sepah.

“Saya ada cakap dengan Mamat… Eh, Rahim balas mesej aku, lepas itu saya tanya dia… Kalau aku video call dia, kau rasa dia angkat tak? Mamat jawab… mestilah dia angkat.
“Saya rasa semua ini gerakan daripada Allah untuk saya ambil langkah itu. Bila saya video call dia dan dia angkat, saya memang terharu sebab sudah lama kami tidak berbual,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shuib berkata, dia menghubungi Rahim ketika sahabatnya itu sedang bertugas di konti radio sekali gus menjadikan suasana perbualan mereka lebih santai dan tidak terlalu emosional.

“Saya tengah memandu dan beritahu Mamat, bagi dia sampai tempat kerja dulu sebab nanti senang dia nak angkat call.
“Bila call dibuat, keadaan agak santai sebab dia berada di konti radio. Jadi suasana itu tidak terlalu personal, lebih kepada suasana meriah dan santai.
“Cuma hujung minggu ini saya ada buat satu majlis. Insya-Allah kalau dia datang, saya rasa waktu itu lebih sesuai untuk kami duduk berbual secara one-on-one,” kongsi Shuib.

Dalam pada itu, dia memilih untuk tidak mengungkit kisah lama dan mengakui apa yang berlaku sebelum ini berpunca daripada salah faham serta keputusan yang kurang matang.

“Sebenarnya apa yang berlaku antara kami lebih kepada salah faham sahaja. Bukannya bergaduh teruk pun. Mungkin ketika itu kami membuat keputusan yang kurang matang. Kedua-dua pihak pun ada silap masing-masing.
“Kadang-kadang masa itu sendiri jadi penawar. Bila sampai waktunya untuk sembuh, hubungan itu akan pulih semula.
“Hari ini saya anggap sebagai hari yang penuh rahmat. Saya dapat kembali seorang sahabat dan sambung semula hubungan kami. Saya harap hubungan ini akan kekal baik selepas ini, insya-Allah,” katanya lagi.

Sumber: mStar (Maszuhaira Sarmin)

Scroll to Top