RANGKAIAN pasar raya Econsave menyasarkan jualan sehingga RM100 juta sebulan bagi zon utara dalam tempoh dua tahun akan datang, susulan perancangan membuka beberapa cawangan baharu di Kedah.
Pengurus Econsave Zon Utara, Zamzuri Mansor berkata, ketika ini 11 cawangan sedia ada di zon berkenaan merekodkan jualan sekitar RM50 juta sebulan.
Menurutnya, jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda apabila lima hingga enam cawangan baharu dibuka antara 2027 hingga 2028.
“Ketika ini zon utara mempunyai 11 cawangan termasuk di Bagan Serai, Parit Buntar, Jawi, Alma, Butterworth, Air Itam, Raja Uda, Bandar Puteri Jaya dan Taman Patani Jaya di Sungai Petani, selain di Baling serta Pokok Sena.
“Dengan tambahan beberapa cawangan baharu dalam tempoh dua tahun akan datang, sasaran jualan zon ini dijangka meningkat sehingga RM100 juta sebulan,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan yang dikenal pasti bagi pembukaan cawangan baharu ialah Padang Serai, Kulim, Bedong, Gurun, Jitra serta satu lagi lokasi di Sungai Petani.

Zamzuri (kiri) dan Pengurus Econsave Bandar Puteri Jaya, M Kavikumar memeriksa kualiti produk yang dijual kepada pelanggan.
Zamzuri berkata, lokasi baharu dipilih dalam lingkungan jarak enam hingga 10 kilometer dari cawangan sedia ada, mengambil kira faktor permintaan serta kepadatan penduduk yang tinggi.
Katanya, pembukaan cawangan baharu itu juga dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, strategi harga kompetitif terus menjadi kekuatan utama Econsave dalam menarik pelanggan.
Menurutnya, tinjauan harga pesaing dilakukan setiap minggu bagi memastikan barangan yang ditawarkan berada pada harga berpatutan dan lazimnya lima hingga 10 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Selain itu, produk jenama sendiri yang dihasilkan melalui pengeluar tempatan serta diimport dari beberapa negara menawarkan penjimatan sekitar 10 hingga 15 peratus dengan kualiti setanding barangan berjenama,” katanya.
Beliau berkata, syarikat turut mengimport sendiri pelbagai barangan termasuk barangan runcit, pakaian dan produk plastik bagi mengekalkan harga yang lebih kompetitif.
Katanya, permintaan terhadap barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan gula terus mencatatkan jualan tinggi, selain barangan basah seperti sayur-sayuran dan ikan segar yang turut menjadi pilihan pelanggan.
Menurutnya, program kebajikan di bawah MyKasih seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyumbang kepada peningkatan jualan antara 10 hingga 20 peratus.
Beliau berkata, Econsave turut menawarkan inisiatif Kedai Econ 2 di cawangan terpilih yang berkonsepkan kedai serbaneka, menjual pelbagai barangan keperluan harian termasuk makanan ringan, barangan plastik dan hiasan dengan harga serendah RM2.40.

Antara produk yang dijual di Kedai Econ 2.
Tambah Zamzuri, Econsave juga pernah menerima pengiktirafan Anugerah Kedai Harga Patut daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai penghargaan terhadap usaha syarikat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Lebih RM5 juta sumbangan Dana Econsave Prihatin sejak 2010
Inisiatif Dana Econsave Prihatin yang dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu terus membantu golongan memerlukan sekali gus memberi harapan baharu kepada mereka yang berdepan kesukaran hidup.
Zamzuri berkata, dana tersebut diperkenalkan sekitar tahun 2010 dengan sasaran membantu keluarga yang memerlukan melalui sumbangan barangan keperluan.

Sumbangan Dana Econsave Prihatin turut diperuntukkan kepada Persatuan Orang Kurang Upaya.
Menurutnya, selepas dunia dilanda pandemik Covid-19, program berkenaan terus diperkasakan bagi membantu lebih ramai pihak yang terjejas akibat krisis tersebut.
“Pada peringkat awal, Dana Econsave Prihatin memberi tumpuan kepada keluarga yang memerlukan, namun selepas Covid-19 ia diperluaskan kepada komuniti lebih besar dan tidak tertakluk kepada individu atau keluarga semata-mata.
“Selain itu, kita turut menyampaikan sumbangan kepada institusi seperti maahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdepan pelbagai cabaran termasuk ditimpa musibah, kebakaran dan lain-lain,”katanya.
Zamzuri berkata, Econsave turut turun padang menyantuni pesakit kronik, mangsa bencana, asnaf, orang kurang upaya dan pelbagai kategori lain,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini hampir RM5 juta telah diperuntukkan melalui dana tersebut bagi membantu pelbagai pihak yang memerlukan.

Zamzuri (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit terlantar.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan merangkumi sumbangan berskala kecil dan besar melibatkan individu atau kumpulan antara RM1,000 hingga RM10,000.
“Konsepnya memulangkan kembali sebahagian hasil jualan yang diterima kepada mereka yang memerlukan.
“Pendekatan ini sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan untuk terus menjadikan Econsave sebagai pasar raya pilihan di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, menggunakan slogan ‘Bandingkan Harga Kami’, Econsave terus mengembangkan perniagaan dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan kepada pengguna pada harga berpatutan.
Ringkasan AI
- Econsave sasar jualan RM100 juta sebulan di zon utara dalam dua tahun dengan buka cawangan baru di Kedah
- 11 cawangan sedia ada Econsave di zon utara kini jualan RM50 juta sebulan
- Lima hingga enam cawangan baru dijadual dibuka antara 2027 hingga 2028
- Lokasi baru termasuk Padang Serai, Kulim, Bedong, Gurun, Jitra, dan Sungai Petani
- Pembukaan cawangan baru dijangka cipta 500 peluang pekerjaan dalam dua tahun



