JPJ gantung lesen pemandu bas ekspres terbabit kemalangan di Johor

JPJ gantung lesen pemandu bas ekspres terbabit kemalangan di Johor

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung Lesen Memandu Vokasional (PSV) pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan 10 penumpang cedera di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Johor, kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sehingga siasatan berhubung kejadian kemalangan itu selesai.

Beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan pasukan penguat kuasa menjalankan JPJ Inspection & Safety Audit (JISA) terhadap bas yang terbabit dalam kemalangan itu bagi meneliti aspek pematuhan keselamatan kenderaan.

“Pasukan kami sudah pun diarahkan turun menjalankan audit JISA terhadap kenderaan bas yang terbabit dalam kemalangan itu untuk menyemak aspek keselamatan dan pematuhan operasi.

“Siasatan lanjut masih dilakukan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Singgah Sahur JPJ Kedah bersama Kelab Permotoran Kedah di sini, awal pagi tadi.

Dalam program itu, sebanyak 350 paket makanan selesai diedarkan kepada penduduk asnaf, orang awam serta pasukan keselamatan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas.

Aedy Fadly berkata, JPJ turut melakukan semakan terhadap Speed Limitation Device (SLD) pada bas berkenaan dan mendapati sijil pengesahan peranti terbabit masih sah sehingga 2027.

Katanya, buat masa ini, siasatan berkaitan kemalangan itu diserahkan kepada pihak polis kerana ia membabitkan kes kemalangan jalan raya.

“JPJ hanya menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasa jabatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru itu terbabit dalam kemalangan menyebabkan 10 mangsa cedera.

Berikutan itu, polis mengesahkan kejadian itu dipercayai berpunca akibat pemanduan cuai.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan di selekoh sebelum terbabas ke bahu jalan dan terbalik berhampiran Kampung Sepakat Baru, Skudai.

Kemalangan itu menyebabkan pembantu pemandu bersama sembilan penumpang cedera pada bahagian kepala, badan, tangan dan kaki sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top