“Saya tak pernah cakap benda-benda yang buruk, malah saya sentiasa doakan untuk mereka”.
Demikian respons pengacara, Uyaina Arshad ketika diminta menjelaskan mengenai hantarannya sebelum ini berkenaan isu merancang keluarga atau ‘pejuang garis satu’ yang menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Kata Uyaina, meskipun wujud golongan ‘pejuang garis satu’ seperti dirinya, namun itu tidak bermakna dia memperkecilkan usaha wanita-wanita yang sedang berjuang untuk hamil atau dikenali sebagai ‘pejuang garis dua’.
“Saya rasa ramai orang seperti saya. Kita berjuang untuk tidak mengandung, sama ada secara manual ataupun dengan bantuan alat perancang.
“Setiap kali buat ujian kehamilan saya akan harap, janganlah ada garis dua sebab waktu awal-awal dulu memang merancang secara manual.
‘Saya ramai kawan-kawan pejuang garis dua yang sedang TTC (trying to conceive) bertahun-tahun lamanya. Saya tak pernah cakap benda-benda yang buruk, malah saya sentiasa doakan untuk mereka.
‘Saya cuma fikir kalau ada pejuang garis dua, mesti ada pejuang garis satu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Uyaina Arshad Tak Ada Niat Guris Hati Pejuang TTC – “Saya Tidak Membandingkan Apatah Lagi Memperkecilkan”
ARTIKEL BERKAITAN:“King No 3 Has Arrived” – Dapat Baby Boy Ketiga, Uyaina Arshad Selamat Bersalin
Pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, itu berkongsi perkara demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama vertikal ‘My Ramadan Love Story’ yang berlangsung di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut, Uyaina menafikan bahawa kenyataannya menerusi hantaran di Threads itu bukanlah untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya, ia dibuat berdasarkan perspektif peribadi.
Malah, dia menegaskan agar isu tersebut tidak lagi dianggap sebagai satu perbandingan bahkan disalah ertikan.
“Jadi teruskan perjuangan masing-masing, tak perlu bandingkan antara satu sama lain.
“Cukup untuk kita bercakap baik dan doa yang baik-baik saja. Itulah niat saya buat hantaran itu, tapi mungkin ada yang tersalah tafsir,” jelasnya.



