jashadiqe@nst.com.my
Johor Bahru: Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon membuat laporan polis berhubung kenyataan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan Istana Johor dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tian Soon membuat laporan tersebut selepas Puad mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahunya bahawa pembubaran DUN adalah atas ‘arahan’ pihak istana serta mendakwa UMNO Johor dikawal oleh pihak istana.
“Saya telah membuat laporan polis terhadap kenyataan Puad yang mengandungi dakwaan bahawa Onn Hafiz memaklumkan kepadanya bahawa DUN dibubarkan atas arahan istana dan Umno Johor dikawal oleh institusi diraja,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Beliau menegaskan dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak benar dan telah pun dinafikan secara terbuka oleh Onn Hafiz.
Tian Soon menjelaskan bahawa pembubaran DUN dilakukan sepenuhnya mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, selepas Menteri Besar menyembah maklum perkara tersebut kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan mendapat perkenan baginda.
Beliau berkata perkenan Sultan adalah satu keperluan Perlembagaan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai arahan atau campur tangan politik.
“Oleh itu, kenyataan Puad yang seolah-olah membayangkan bahawa pihak istana mengarahkan pembubaran atau campur tangan dalam urusan politik adalah sesuatu yang serius, mengelirukan, dan mampu mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem Raja Berperlembagaan di Johor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




