Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada 18 September 2026.
Dibenar jalani hukuman secara tahanan rumah
Menerusi kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Walau bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Perlu patuhi syarat-syarat telah ditetapkan
Dalam kenyataan sama, Najib dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah pengampunan berkenaan.
Sekiranya beliau gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan, pengampunan bersyarat tersebut akan terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Keputusan itu dibuat selepas Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan bersidang semula hari ini, susulan mesyuarat sebelum ini pada 11 September lalu yang menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan Najib.
Perkembangan berkenaan turut mendapat perhatian sejak awal pagi selepas beberapa individu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilihat memasuki pekarangan Istana Negara.
Dengan keputusan terbaharu itu, Najib akan menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga tarikh yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan semua syarat pengampunan serta pembayaran denda RM50 juta.
Sumber: Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM
