sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik kepadatan jadual yang perlu diharungi Selangor FC (SFC) namun pengendalinya, Kim Pan Gon mengakui api semangat pemain pasukan itu terus menyala dan kini bersedia untuk mengharungi satu lagi aksi penting dalam Piala FA.
The Red Giants akan bertandang ke Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, malam esok untuk aksi pertama suku akhir Piala FA berdepan Star City FC yang kini dibimbing bekas jurulatih pasukan itu, Mehmet Durakovic.
SFC jelas berada dalam momentum yang terbaik selepas belum lagi tewas dalam enam perlawanan Liga Malaysia (Liga M) setakat ini sekali gus Pan Gon melihat situasi ini meningkatkan lagi tahap keyakinan anak buahnya menjelang pertembungan terbabit.
Justeru, bekas pengendali skuad Harimau Selatan ini mahu melihat anak buahnya mengekalkan intensiti yang sama seperti yang sudah ditunjukkan dalam lima kemenangan yang berjaya diperolehi mereka setakat ini.
“Kita berdepan banyak situasi sukar tetapi kita dapat mengatasinya. Kita berjaya mara ke pusingan seterusnya dan kita akan berdepan satu lagi pusingan (suku akhir Piala FA).
“Kita perlukan semangat sama seperti yang ditunjukkan seperti dalam perlawanan terdahulu. Kita perlu teruskan berjuang seperti ini dalam apa sahaja perlawanan yang kita hadapi.
“Keyakinan kita semakin bertambah dalam setiap perlawanan. Pemain sentiasa menunjukkan usaha yang berlipat ganda dalam misi meraih kemenangan,” kata Pan Gon.
Sebagai rekod, SFC mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas mengetepikan finalis edisi lalu, Sabah FC 4-3 secara agregat.
Selepas terikat 2-2 pada aksi pertama Pusingan 16 di Stadium Likas, anak buah Pan Gon menang aksi kedua Pusingan 16 dengan keputusan 2-1 untuk berdepan Star City FC yang mengetepikan Kedah FA 4-2 secara agregat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
