Indian Wells: Pilihan ketiga kejohanan, Novak Djokovic, bangkit selepas tewas set kedua untuk menewaskan pemain Amerika Syarikat Aleksandar Kovacevic 6-4, 1-6, 6-4 pada kejohanan Indian Wells Masters, sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak 2017.
Kemenangan itu turut membuka laluan kepada Djokovic untuk bertemu juara bertahan Jack Draper, yang sebelum itu menewaskan pilihan ke-19 dari Argentina, Francisco Cerundolo 6-1, 7-5.
Juara Grand Slam sebanyak 24 kali itu, yang pernah menjuarai kejohanan di padang pasir California itu lima kali, memenangi set pertama sebelum Kovacevic bangkit menguasai set kedua.
Namun Djokovic kembali mengawal permainan pada set penentuan untuk memastikan kemenangan dalam tempoh dua jam dua minit.
“Persembahan hebat daripada Alex. Kami saling mengenali dan bercakap bahasa yang sama, keluarganya juga berasal dari Serbia.
“Dia antara bakat terbaik yang ada sekarang, terutama dengan pukulan backhand sebelah tangan yang jarang dilihat dalam tenis moden,” kata Djokovic.
Sementara itu, Draper mempamerkan aksi meyakinkan apabila menguasai set pertama dengan mudah sebelum berdepan cabaran lebih sengit daripada Cerundolo pada set kedua.
Dalam satu lagi kejutan, pemain Amerika Alex Michelsen menyingkirkan pilihan ketujuh dan pemain tuan rumah Taylor Fritz 6-4, 7-6(6).
Pemain Britain Cameron Norrie pula meneruskan prestasi cemerlang apabila menewaskan pilihan keenam dari Australia Alex de Minaur 6-4, 6-4.
© New Straits Times Press (M) Bhd



