Penyanyi, Ernie Zakri tampil bersuara mengenai perdebatan netizen berhubung isu lagu raya baharu yang hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Ernie berpendapat setiap karya mempunyai citarasa tersendiri dan peminat seharusnya menikmati muzik tanpa perlu terlalu membuat perbandingan antara satu sama lain.
Menurutnya, jika sesebuah lagu tidak menepati selera pendengar, mereka boleh memilih untuk mendengar lagu lain yang lebih sesuai dengan minat masing-masing.
“Lagu raya mana-mana pun okay yang sesuai dengan citarasa, enjoy saja. Yang tak ‘feel’, kita cari lagu lain okay?” tulisnya.
Dalam masa sama, Ernie turut memetik situasi yang pernah berlaku pada era terdahulu apabila lagu raya Setahun Sekali nyanyian Amy Mastura dianggap agak moden pada zamannya namun masih tetap diterima baik.
“Kalau zaman dulu, lagu raya Setahun Sekali Amy Mastura agak moden jika dibandingkan dengan karya lain. Tapi tetap diterima masyarakat dulu,” katanya.
Pelantun lagu Masing-Masing ini turut menyifatkan muzik sebagai universal dan terlalu luas untuk ditentukan sebagai betul atau salah kerana perkara itu boleh mengehadkan kreativiti pengkarya.
“Muzik ini terlalu universal. Jika nak ‘define’ sesuatu itu betul atau salah, takut nanti jadi had pada sang pengkarya.
“Baju raya kita pun ‘taste’ lain-lain, apatah lagi muzik. Enjoy saja, raya ini kita happy-happy okay?” katanya lagi.





