5,000 peserta dijangka meriahkan PTP 188 Fun Run dan Fun Ride

5,000 peserta dijangka meriahkan PTP 188 Fun Run dan Fun Ride

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Seramai 5,000 peserta dijangka memeriahkan PDRM Tanjung Putra 188 (PTP 188) Fun Run dan Fun Ride 2026 anjuran Polis Pahang yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei depan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata program PTP 188 Fun Run & Fun Ride 2026 akan diadakan di Padang MBK 1 di sini.

“Penganjuran program ini sempena sambutan Hari Polis ke-219, sebagai satu pendekatan santai yang menghimpunkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam melalui aktiviti sukan dan riadah.

“Pada masa sama, kontinjen Pahang dalam usaha membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

“Program ini juga selari dengan agenda Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, sekali gus membantu mempromosikan negeri Pahang khususnya daerah Kuantan sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran PDRM Tanjung Putra 188 (PTP 188) Fun Run dan Fun Ride 2026 anjuran Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Pada program itu, dua kategori utama dipertandingkan iaitu larian 5 kilometer (km) dan 10km, serta acara kayuhan basikal membabitkan jarak 10km dan 50km.

Yuran penyertaan ditetapkan RM50 bagi kategori larian 5km, RM60 bagi larian 10km dan RM70 bagi acara kayuhan basikal, selain tawaran diskaun RM5 bagi pendaftaran awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top