Dalam iklan iPhone 18 Pro, Proton Iswara 'mendunia'

Dalam iklan iPhone 18 Pro, Proton Iswara 'mendunia'

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kemunculan kereta Proton Iswara dalam video promosi iPhone 18 Pro keluaran Apple mencuri perhatian pengguna media sosial di Malaysia.

Model kereta nasional yang diperkenalkan lebih tiga dekad lalu itu digunakan dalam babak berkejaran apabila sekumpulan anak muda menaiki kenderaan itu untuk melarikan diri daripada seorang lelaki misteri.

Video berdurasi 58 saat itu dimuat naik Apple pada 23 September lalu menerusi kempen #ShotoniPhone18Pro bagi mempamerkan keupayaan kamera telefon pintar berkenaan.

Apa yang menarik perhatian ialah keseluruhan babak berkenaan dirakam dalam satu rakaman berterusan tanpa potongan, termasuk adegan pelakon berlari mendapatkan Proton Iswara sebelum kenderaan itu dipandu meninggalkan lokasi.

Kemunculan kereta berkenaan pantas dikenali pengguna media sosial Malaysia dengan ruangan komen Apple dipenuhi reaksi seperti “I saw Proton Saga there”, “Wait, is that Malaysia Proton car?” dan “Proud to be a Malaysian.”

Sebahagian pengguna turut berseloroh mengenai kemunculan kereta nasional itu, termasuk komen “Malaysia mendunia” dan “I saw Proton, I press LIKE.”

Video berkenaan diarahkan sinematografer Britain, Matt Lewis yang turut terbabit dalam penerbitan siri Netflix, Adolescence.

Lewis menggunakan teknik rakaman satu ‘shot’ berterusan bagi menghasilkan babak mengejar berkenaan, selain memanfaatkan ciri kamera iPhone 18 Pro untuk menghasilkan peralihan fokus ketika kamera bergerak.

Proton Iswara diperkenalkan pada 1992 sebagai model yang dikemas kini daripada Saga Megavalve dan pernah dieksport ke United Kingdom (UK).

Di pasaran UK, model berkenaan dikenali sebagai Proton Mpi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top