Hentikan kemelut di Negeri Sembilan – AMK

Hentikan kemelut di Negeri Sembilan – AMK

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan sikap dan usaha menurunkan serta mengaibkan raja pemerintah yang sedang bertakhta sebagai biadab dan bertentangan dengan tanggungjawab memelihara kehormatan Raja-Raja Melayu yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penyelesaian kemelut melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan perlu berpandukan prinsip dan semangat ajaran Islam, termasuk penghormatan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu.

“Pertimbangan keadilan, adab, proses adat yang wajar dan kemaslahatan rakyat mesti mendahului kepentingan dan tembolok politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang pertikaian hendaklah ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan baginda dan mencemar kemuliaan institusi diraja.

“Malaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Justeru, semua pihak yang terlibat wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah. Keangkuhan politik tidak wajar digunakan untuk menginjak prinsip asas telah termaktub sejak sekian lama.

“Kemelut ini harus dihentikan segera bagi menjamin kehormatan institusi diraja, kepentingan umat Islam dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

Muhammad Kamil berkata AMK juga mahu Kerajaan MADANI membentangkan segera laporan berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta institusi lain, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dikaitkan dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui kerugian yang ditanggung, perkembangan pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana negara dan rakyat kini terpaksa menanggung beban besar akibat kecurangan pentadbiran terdahulu.

“Mempertahankan institusi utama ini bermakna menjaga integriti serta manfaatnya kepada rakyat dan Bumiputera. Mereka yang menyeleweng amanah institusi ini telah mengkhianati masyarakat yang sepatutnya dibela.

“Institusi yang ditubuhkan untuk memaknai hak dan memelihara kepentingan Bumiputera kini hampir punah akibat tangan-tangan durjana yang tidak bertanggungjawab. Meskipun berhadapan tekanan dan desakan, Kerajaan MADANI kekal bersikap tegas dalam membetulkan kerosakan yang telah sekian lama dibiar merebak,” katanya.

Muhammad Kamil berkata, AMK juga meminta kerajaan supaya memberikan keutamaan kepada isu peluang pekerjaan berkualiti, gaji bermaruah dan peningkatan kemahiran anak muda, termasuk pekerja gig yang memerlukan kadar upah yang adil, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang telus.

Beliau berkata, isu perumahan juga mesti diberi tumpuan oleh kerajaan agar nasib golongan belia dapat dibela dengan baik dan terangkum.

“Anak muda berhak memperoleh pendapatan yang membolehkan mereka menampung keperluan asas, membina simpanan dan merancang masa depan. Tuntutan ini mesti diterjemahkan dalam dasar serta tindakan kerajaan. AMK berpendirian agar perkara ini dapat diterjemahkan di dalam Belanjawan MADANI 2027 yang akan datang,” katanya.

Muhammad Kamil ketika menyentuh kesiapsiagaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkata jentera di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan telah diperkemas dan beberapa nama calon muda berwibawa juga telah dikemukakan untuk pertimbangan kepimpinan pusat PKR.

Beliau menegaskan sebarang keputusan berhubung kerjasama politik dalam PRN Melaka itu tidak boleh sekadar menjadi marriage of convenience untuk memenuhi selera pihak tertentu, sebaliknya mesti berteraskan kepentingan dan pembangunan rakyat Melaka.

Selain itu, Muhammad Kamil turut mengumumkan tiga pelantikan baharu, iaitu Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi AMK, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli (Ketua AMK Wilayah Persekutuan) dan Mohamad Iqbal Farok (Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan).- Bernama

Scroll to Top