Di usia 102 tahun, Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia

Di usia 102 tahun, Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia

Petaling jaya: Hartawan hotel dan hartanah, Robert Kuok, 102, sekali lagi dinobatkan sebagai orang terkaya di Malaysia berdasarkan senarai bilionair dunia Forbes yang baharu.

Kuok yang berpangkalan di Hong Kong berada di kedudukan ke-204 dengan kekayaan bersih AS$14.2 bilion (RM55.7 bilion), menjadikannya rakyat Malaysia di kedudukan tertinggi dalam senarai tahunan berkenaan, menurut FMT memetik laporan data Forbes.

Kekayaan tokoh itu meningkat daripada AS$12.1 bilion (RM47.5 bilion) tahun lalu, meskipun kedudukan rankingnya merosot berbanding tangga ke-101 pada tahun sebelumnya.

Seramai 14 lagi rakyat Malaysia turut disenaraikan bersama Kuok dalam senarai berkenaan.

Beliau diekori oleh Quek Leng Chan daripada Hong Leong (tangga ke-486, kekayaan bersih AS$7.6 bilion RM29.8.72 bilion), pengasas 99 Speed Mart Holdings Bhd, Lee Thiam Wah (tangga ke-595, AS$6.8 bilion atau RM26.7 bilion), dan Koon Poh Keong daripada Press Metal Aluminium Holdings Bhd (tangga ke-645, AS$6.8 bilion atau RM26.7 bilion).

Individu lain yang tersenarai termasuk Jeffrey Cheah daripada Sunway Bhd (tangga ke-749, AS$5.6 bilion atau RM21 bilion); Lee Yeow Chor (tangga ke-934, AS$4.6 bilion atau RM18 bilion) dan Lee Yeow Seng (tangga ke-1074, AS$4 bilion atau RM15.7 bilion) daripada IOI Corp Bhd; serta Syed Mokhtar Albukhary (tangga ke-1,163, AS$3.7 bilion atau RM14.5 bilion).

Jumlah bilionair dalam senarai Forbes terus meningkat tahun ini dengan pertambahan 400 orang berbanding 2025, manakala jumlah kekayaan keseluruhan mencecah rekod tertinggi AS$20.1 trilion (RM78.9 trilion), iaitu peningkatan AS$4 trilion (RM15.7 trilion) berbanding tahun lalu.

Peneraju teknologi terus mendominasi senarai itu dengan Elon Musk berada di tempat pertama (AS$839 bilion atau RM3.32 trilion) diikuti Larry Page (AS$257 bilion atau RM1.02 trilion) dan Sergey Brin (AS$237 bilion atau RM938.5 bilion) daripada Google, Jeff Bezos daripada Amazon (AS$224 bilion atau RM887.04 bilion) serta pengasas Facebook, Mark Zuckerberg (AS$222 bilion atau RM879.12 bilion).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top